Nuremberg: Thomas Mueller meledak dua gol untuk membantu Jerman menghidupkan semula kempen kelayakan EURO 2016 dengan kemenangan 4-0 mengatasi Gibraltar, semalam.

Mueller membuka jaringan pada minit ke-12 sebelum menyumbat gol kedua 17 minit kemudian. Mario Goetze menjadikan kedudukan 3-0 pada m-38 sebelum jaringan sendiri daripada Yogan Santos melengkapkan kemenangan besar tetapi kurang meyakinkan itu.

Sekumpulan peminat Jerman menjerit tidak berpuas hati kerana mengharapkan jaringan lebih besar.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew sebelum itu mahukan keputusan mantap untuk menggambarkan status skuadnya sebagai pemenang Piala Dunia.

Gibraltar dengan wilayah hanya didiami 30,000 beraksi pada sesi kelayakan, sudah pun mengalami kekalahan besar 0-7 kepada Ireland dan Poland dalam Kumpulan D.

“Secara jujur saya berpuas hati,” kata Loew. “Bagi juara dunia, empat gol terlalu sedikit. Kami tidak melakukan apa yang kami mahu lakukan. Kami mahu bermain pantas dan bergerak daripada setiap posisi. Malangnya pemain tidak melakukannya.”

Biarpun tewas, rakan sejawatan Loew, Allen Bula lebih gembira.

“Ia satu keputusan yang hebat,” kata Bula yang membentuk pasukan yang kebanyakannya pemain amatur. “Kami benar-benar memerlukan sesuatu seperti ini untuk membolehkan kami terus mara.”

Loew memulakan saingan dengan barisan serangan dengan tiga pemain pertahanan dan empat penyerang menerusi Mueller, Lukas Podolski, Max Kruse dan Karim Bellarabi yang membantu di belakang Goetze dan Toni Kroos.

“Kami mempunyai banyak peluang menjaringkan gol. Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol. Ia mungkin tujuh atau lapan,” kata Goetze.

Jerman masih ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan D, Poland yang menang 4-0 di Georgia hasil jaringan babak kedua menerusi Kamil Glik, Grzegorz Krychowiak, Sebastian Mila dan Arkadiusz Milik.

Jaringan sepakan lencong Shaun Maloney dalam kotak penalti pada m-75 sudah memadai buat Scotland menewaskan Ireland 1-0 di Glasgow untuk pasukan itu mengumpul mata sama dengan Ireland dan Jerman. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:15 AM