Berlin: Juara dunia, Jerman memburu kemenangan besar ketika menentang Gibraltar di Nuremberg awal pagi esok dalam usaha memperbaiki imej yang sedikit goyah sepanjang kempen kelayakan Euro 2016.

Jerman menerima aib selepas kejayaan mereka menjulang Piala Dunia di Brazil apabila tewas 0-2 di tangan Poland sebelum seri 1-1 dengan Ireland bulan lalu sekali gus menyaksikan mereka menduduki tangga ketiga Kumpulan D.

Jerman ketinggalan tiga mata berbanding Poland dan Ireland sekali gus kemenangan besar ke atas Gibraltar amat diperlukan sebelum bertemu Sepanyol dalam satu perlawanan persahabatan di Vigo pada Rabu.

Poland dan Ireland masing-masing menang 7-0 ke atas Gibraltar dan Jerman juga mengharapkan jaringan sebegitu di Stadium Grundig untuk melonjakkan jumlah gol.

Jerman bakal bermain tanpa pemain tengah Marco Reus, Julian Draxler serta kapten Bastian Schweinsteiger, tetapi juara dunia itu tetap mahu menang.

“Kami akan melangkah ke perlawanan menentang Gibraltar dengan penuh tumpuan,” kata jurulatih Joachim Loew.

“Kami pasukan pilihan dan mahu menentang mereka sebagai pasukan pilihan.”

Walaupun beberapa pemain utamanya cedera selain Loew perlu mengukuhkan semula pertahanan gara-gara persaraan Philipp Lahm dan Per Mertesacker, Gibraltar yang tewas semua tiga perlawanan sepatutnya tidak mendatangkan masalah buat Jerman.

“Kami tidak memandang rendah keupayaan lawan walaupun mereka belum merakam sebarang kemenangan setakat ini,” kata penolong jurulatih Jerman Thomas Schneider.

“Yang penting, kami bermain dengan baik dan jika menang 5-0 atau 6-0 ia sudah cukup.

“Tidak ada sebab untuk kami bermain buruk. Kami mahu tiga mata bagi menghidupkan semula peluang untuk ke pusingan akhir.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:06 AM