NOOR AZURA ibu kepada empat cahaya mata.
NOOR AZURA ibu kepada empat cahaya mata.
AHLI kelab Bikes & Roses.
AHLI kelab Bikes & Roses.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Pemandu motosikal berkuasa tinggi wanita atau dikenali sebagai ‘lady bikers’ tidak asing lagi ketika ini. Jika dulu, ‘lady bikers’ terdiri daripada golongan artis, ahli sukan dan usahawan, tetapi kini semua golongan turut mempunyai hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Malah beberapa kelab permotoran wanita diwujudkan untuk mengumpul ‘lady bikers’ dan setiap masa jumlah ahlinya semakin bertambah berikutan ramai wanita teruja memiliki motosikal berkuasa tinggi yang disifatkan sebagai hobi mewah.

Ada pula beranggapan mereka yang termasuk dalam golongan ini seorang yang kasar, lasak dan kurang sifat kewanitaannya.

Buangkan tanggapan ini jauh-jauh kerana kelab yang menamakan diri mereka sebagai Bikes & Roses kebanyakannya terdiri daripada mereka bergelar isteri dan ibu yang mempunyai nilai kewanitaan dan sifat keibuan tinggi.

Menurut pengasas Bikes & Roses Sulia Mohd Nasir, 33, yang juga ibu kepada dua cahaya mata, minat dalam dunia permotoran sudah ada sebelum mendirikan rumah tangga. Namun selepas melahirkan cahaya mata pertama minat ini terpaksa ditangguhkan kerana perlu memberi perhatian kepada keluarga.

Selepas anak berusia 12 tahun, kerinduan dalam dunia permotoran semakin terserlah tambahan pula suami turut mempunyai hobi yang sama. Lalu dia menyatakan hasrat untuk kembali menunggang motosikal.

“Alhamdulillah suami mengizinkan saya menunggang motosikal semula. Motosikal pertama saya Nimota CK9 dibeli untuk memudahkan saya menunggang ke tempat kerja. Secara perlahan-lahan saya mengumpulkan kawan alam maya yang mempunyai minat yang sama dan kami sering bertukar cerita. Ini mendorong saya menubuhkan Bikes & Roses yang antara lain menjadi medan kepada penunggang motosikal wanita berkongsi apa saja aktiviti yang dijalankan.

“Bermula hanya beberapa orang kini Bikes & Roses mempunyai hampir 80 ahli dari seluruh Malaysia. Apa yang diperlukan untuk menjadi ahli kelab adalah mempunyai lesen dan motosikal sendiri dan minat dalam aktiviti permotoran,” ujarnya.

Bagi menjamin keselamatan, Sulia sering ditemani suami sekiranya perjalanan mengambil masa lama. Malah sebagai ketua dia sering me­ngingatkan ahli lain untuk menjaga keselamatan sepanjang pemanduan di jalan raya. Paling penting bersedia dalam apa juga kemungkinan yang bakal berlaku selain menunggang berkumpulan dalam jarak selamat.

Puas dengar deruan enjin

Bagi Noor Azura Abd Hamid, 29, sememangnya bukan mudah seorang wanita menunggang motosikal berkuasa tinggi. Selain berat, ia juga memerlukan penunggang itu mempunyai tenaga yang kuat kerana jika silap percaturannya, motosikal besar boleh terbalik dan menimpa pemiliknya. Tambahan pula Noor Azura mempunyai ketinggian 150 sentimeter saja.

Dia yang pada mulanya tidak mempunyai lesen motosikal akhirnya memberanikan diri mencuba selepas mengenali rakan yang aktif menunggang. Suami pula memberi keizinan dia mengambil lesen.

“Dulu memang saya penakut menunggang motosikal kerana rasa tidak selamat. Tetapi selepas mengenali Sulia dan rakan lain saya teruja mencuba. Motosikal pertama saya Demak Skyline, dibeli pada Jun 2014. Kemudian saya menunggang ke tempat kerja. Alhamdulillah ia menimbulkan keseronokan sehingga mengikut beberapa aktiviti anjuran Bikes & Roses,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia lapan, enam dan empat tahun serta anak bongsu yang baru berumur sembilan bulan ini menyangkal pendapat yang mengatakan penunggang wanita seorang yang kasar dan tidak mempunyai sifat kewanitaan. Sebenarnya ia dua perkara berbeza. Menunggang hanyalah hobi sama seperti hobi yang lain manakala peranan ibu tetap dijalankan seperti biasa.

“Sekiranya saya ada aktiviti di luar bersama Bikes & Roses, anak akan diserahkan kepada suami untuk dijaga. Aktiviti permotoran juga tidak mengambil masa yang lama. Biasanya untuk dua atau tiga hari saja,” katanya.

Bagi Noor Izzaty Senin, 25, walaupun belum mendirikan rumah tangga, dia mendapatkan keizinan ibu sebelum menyertai aktiviti menunggang motosikal. Motosikal pertamanya skuter dibawa berulang-alik ke tempat kerja. Selepas itu dia bertukar kepada motosikal kuasa yang lebih tinggi iaitu Yamaha TZ150.

Jelas Noor Izzaty, bagi jaminan keselamatan penunggang motosikal wanita perlu mempelajari pemanduan yang betul seperti menstabilkan motosikal ketika bergerak.

“Sebaik-baiknya mereka yang berjinak-jinak dalam aktiviti ini perlu bermula dari bawah iaitu kapasiti kuasa kecil, sederhana dan besar. Lebih besar kuasa motosikal, lebih berat dan besar motosikal itu. Penunggang wanita juga perlu pandai berhubung dengan ‘bikers’ lain terutama jika bergerak secara konvoi.

“Setakat ini saya menyertai konvoi ke Port Dickson (Negeri Sembilan), Lumut (Perak), Johor Bahru dan Bentong (Pahang). Semuanya meninggalkan kenangan manis kepada seluruh ahli kelab Bikes & Roses,” katanya.

Bagi Noor Izzaty banyak kelebihan diperoleh dengan menyertai Bikes & Roses antaranya dapat merapatkan ukhuwah antara satu sama lain dan mengurangkan tekanan selepas penat bekerja.

Hanya penunggang motosikal saja memahami kepuasan yang dirasai saat dapat bergerak di jalan raya. Deruan enjin bergabung dengan alam semula jadi memberikan rasa keseronokan yang sukar diluahkan dengan kata-kata.

Pendapat ini turut dipersetujui Norliza Harun, 34, yang menyatakan hanya penunggang motosikal saja memahami apa yang dirasakan ketika menunggang. Ia bukan hanya kepuasan, tetapi dapat mengurangkan tekanan serta bersama rakan yang mempunyai minat sama. Mula meminati aktiviti permotoran sejak di sekolah menengah Norliza mendapat kepercayaan ibu untuk menunggang motosikal ke sekolah.

“Motosikal pertama saya EX5, kemudian selepas tamat persekolahan saya membeli motosikal Yamaha XS untuk berulang-alik ke tempat kerja. Selepas mendirikan rumah tangga saya bertukar kepada KTM Duke sehingga sekarang,” katanya yang baru saja menyertai Bikes & Roses setahun lalu.

Mempunyai seorang cahaya mata, dia yang menyertai beberapa konvoi ke Lumut dan Bentong tidak mempunyai masalah meninggalkan anaknya kepada suami atau pengasuh. Paling penting apa juga yang dilakukan mendapat sokongan dan kebenaran orang tersayang.

Pernah terbabit dalam kemalangan sehingga mengakibatkan patah tulang bahu dan berehat selama setahun, namun wanita ini tidak serik dan meneruskan aktiviti permotoran. Baginya kemalangan boleh berlaku di mana-mana, namun sekiranya penunggang berhati-hati dan menerapkan ciri keselamatan ia dapat dielakkan.

Ditanya adakah hobi menunggang motosikal memerlukan kos yang tinggi, bagi Norliza ia bergantung kepada kemampuan masing-masing. Di pasaran terdapat pelbagai jenis aksesori motosikal daripada harga mencecah ribuan sehingga puluhan ringgit, terpulang kepada keinginan dan kemampuan poket sendiri. Bagi mereka yang ingin menyertai kelab Bikes & Roses boleh melayari Facebook Bikes & Roses.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 5:01 AM