SAYANG Shazwani bersama koleksi motosikalnya. FOTO Genes Gulitah
SAYANG Shazwani bersama koleksi motosikalnya. FOTO Genes Gulitah
Lizam Ridzuan dan Najiy jefri

Kuala Lumpur: Berbicara soal wanita, menjadi lumrah golongan ini gemar mengumpul koleksi beg tangan, kasut, tudung atau barang kemas sebagai pilihan.

Namun berbeza dengan Sayang Shazwani@Siti Nurwani Abdul Rahman, 46, yang mengumpul lebih 10 motosikal sebagai koleksi peribadinya.

Kecenderungan dan minatnya terhadap jentera dua roda ini membuatkannya unik berbanding kelaziman minat wanita lain.

Sayang Shazwani berkata, meskipun bukanlah jenama 'kayangan' atau berprestasi tinggi namun setiap motosikal dimiliki adalah model yang memiliki nilai tersendiri.

"Tiga jentera paling saya sayangi adalah model dua lejang Yamaha TZM, Suzuki Panther 'Jerung' dan Yamaha YZF-R25. Semua motosikal itu sering saya gunakan sama ada untuk berkonvoi ataupun kegunaan seharian," katanya.

Minatnya untuk mengumpul motosikal timbul selepas menyertai kumpulan pemilik motosikal Yamaha TZM dikenali sebagai Legend Motomania Bikers sejak 2001.

"Kami aktif dengan aktiviti track day yang membuka peluang untuk ramai ahli berlumba dalam litar. Saya juga ada beberapa motosikal yang dibeli khusus bagi tujuan itu.

"Saya sering berlumba di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor berikutan kosnya tidak terlalu tinggi. Lagipun saya bukan mahu menjadi pelumba profesional tetapi lebih kepada minat dengan dunia permotoran," katanya.

Pelbagai kisah suka duka yang dilalui sepanjang penglibatannya dalam dunia motosikal termasuk pernah jatuh gaung di Bukit Fraser, Pahang serta kemalangan menyebabkan motosikalnya terperosok di bawah lori.

"Malah saya pernah patah tulang tangan selain mengalami kecederaan lain. Namun semua itu tidak pernah melemahkan semangat saya untuk terus menunggang," katanya.

Melihat dari sudut lain, aktiviti bermotor itu turut dianggap terapi berikutan dia pernah menghidap kanser darah, sakit buah pinggang, darah tinggi dan jantung.

"Doktor pernah memberitahu saya hanya boleh hidup untuk tempoh dua tahun sahaja selepas disahkan mengidap penyakit itu 14 tahun lalu. Namun syukur saya masih diberi nyawa sehingga kini.

"Umpama terapi diri, bermotosikal itu dapat menenangkan jiwa. Malah menerusi pembelian motosikal dan aksesori seperti jaket, kasut dan topi keledar, saya dapat menghilangkan tekanan emosi," katanya.

Menurutnya, dia juga sering dijemput pihak Hospital Ampuan Rahimah, Klang, Selangor, sebagai sukarelawan dengan berkongsi kisahnya dan cara menangani sakit yang dihidapi sehingga masih bertahan sehingga ke hari ini.

Cinta Mama Niena dicetus Demak Skyline 200

Mengisi masa lapang selepas bersara dengan dipenuhi aktiviti menunggang dan mengumpul koleksi pelbagai model motosikal. Itu antara minat segelintir wanita berstatus mak cik atau nenek demi mencari kepuasan tersendiri.

Pendekatan berbeza itu turut dilakukan Hambiyah Abdul, 56, atau lebih dikenali sebagai Mama Niena yang mengumpul empat motosikal pelbagai model.

Wanita yang kerap menyertai konvoi bermotosikal itu memberitahu mula aktif dengan hobi itu sekitar 2011 selepas sekian lama hanya menunggang skuter untuk ke tempat kerja.

"Motosikal yang saya beli bagi tujuan konvoi adalah model Demak Skyline 200 yang menjadi titik tolak permulaan untuk saya terus aktif sehingga ke hari ini," katanya.

Menurutnya, dia kemudian menaik taraf motosikal kepada model Kawasaki Ninja 250 dan menyertai pelbagai kelab motosikal serta aktif berkonvoi ke serata negara.

"Ketika ini bilangan peminat dan penunggang motosikal wanita bertambah berbanding ketika di awal penyertaan saya," katanya yang pernah bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

HAMBIYAH yang gemar menunggang motorsikal berkuasa tinggi. FOTO Aizuddin Saad
HAMBIYAH yang gemar menunggang motorsikal berkuasa tinggi. FOTO Aizuddin Saad

Bagi memenuhi keperluan minatnya, dia kemudian membeli dua motosikal model Honda RS150 dan motosikal Wave 125 untuk tunggangan jarak.

"Saya kemudian membeli motosikal model Kawasaki Z250 yang digunakan bagi perjalanan jauh sebelum menambah sebuah lagi motosikal model Kawasaki Z1000 yang dibeli pada harga RM30,000.

"Bersama jentera 1,000cc itu, saya pernah menunggang hingga ke Betong, Thailand serta sering digunakan bagi tujuan tunggangan jarak jauh," katanya yang memiliki tiga cahaya mata dan seorang cucu.

Kini dia mengimpikan sebuah lagi motosikal model Kawasaki Versys 650 yang lebih selesa bagi perjalanan jauh dan pengembaraan.

"Setakat ini semua koleksi motosikal diselenggara dengan baik dan akan dihantar untuk penyelenggaraan mengikut perbatuan disarankan pengeluar.

"Kos selenggara setiap motosikal adalah berbeza mengikut model. Bagi jentera 1,000cc, saya membelanjakan sekitar RM400 (bergantung perbatuan) untuk penyelenggaraan," katanya.

Menurutnya, aspek keselamatan ketika menunggang motosikal adalah menajdi keutamaan.

Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan sejak terbabit dalam dunia permotoran adalah berpeluang bersarapan pagi bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 2019 dan menjadi salah seorang penunggang motosikal membawa pelancong dari Jordan mengelilingi Kuala Lumpur.

Bikers jelita

Hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi atau motosikal lasak tidak terkecuali turut menjadi hobi beberapa selebriti tanah air termasuk artis senior.

Antara individu yang cukup aktif menyertai pelbagai aktiviti motosikal adalah Erra Fazira, Fauziah Latiff, Linda Onn, Maznah Zulkifli, Siti Elizad, Ahirine Ahirudin dan Janna Nick.

FAUZIAH Latiff.
FAUZIAH Latiff.

Pelakon Siti Elizad mengaku tidak boleh hidup tanpa motosikal dan masih meneruskan minat dalam aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi walaupun sudah mendirikan rumah tangga.

Elizad atau pemilik nama penuh Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 39, yang memiliki motosikal model Harley-Davidson Street Bob 114 berkata, tahun ini sudah 21 tahun dia bergiat aktif dengan hobi itu dan mempunyai beberapa impian untuk mengelilingi beberapa negara Asia.

"Saya masih lagi aktif dengan aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi. Disebabkan saya belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata, jadi saya sibukkan diri dengan aktiviti ini.

"Lagipun apabila menunggang motosikal ini, saya sangat 'enjoy' dapat teroka negara luar dengan melihat pemandangan yang cukup indah sepanjang perjalanan ke destinasi yang dituju.

"Insya Allah tahun ini saya sedang dalam misi menawan 1000 Corner Mae Hong Son di Thailand sekali gus mencipta rekod buat kali kedua.

"Selain itu, saya bercadang untuk menyertai konvoi ke Golden Triangle yang akan menjelajah tiga negara iaitu Thailand, Laos, dan Myanmar," katanya.

SITI Elizad.
SITI Elizad.

Elizad juga bekas penyampai radio Sinar berkata, dia beruntung apabila dipertemukan dengan suami yang turut mempunyai minat sama dalam aktiviti bermotosikal.

"Kami berkongsi minat yang sama. Rasanya ramai yang sudah tahu yang keluarga saya memang aktif dalam aktiviti permotoran.

"Saya mula mengenali suami saya pun melalui abang saya. Kami memang ada satu kumpulan yang aktif dengan aktiviti menunggang motosikal ini.

"Selalunya kami akan cari tempat yang belum dikomersilkan. Selalunya kami cari restoran dan rumah inap desa baharu," katanya.

Sementara itu pelakon, Ahirine Ahirudin turut mengakui minatnya melakukan aktiviti lasak termasuk menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Katanya, dia menyimpan impian menjelajah dunia dan disebabkan itu dia berusaha meningkatkan kemahiran menunggang dengan mengikuti kelas tunggangan lasak di Most Fun Gym (MFG) baru-baru ini.

AHIRINE.
AHIRINE.

"Pengalaman menunggang di laluan off-road mencabar keupayaan diri namun dapat meningkatkan rasa berani dan cara mengendalikan motosikal.

"Melalui teknik tepat di laluan lasak, ia akan menjadikan kita mahir untuk apa juga permukaan jalan," kata Ahirine yang mengambil bahagian dalam perlumbaan supermoto menggunakan motosikal enduro.

Sementara itu, pelakon dan pengacara jelita, Janna Nick pula mengaku sudah meninggalkan hobi menunggang motosikal selepas pernah terbabit dalam kemalangan.

Janna berkata, kejadian yang berlaku sekitar tahun 2012 itu membuatkan dia serik untuk menunggang motosikal apabila wajahnya berada di kedudukan tayar kereta.

Menurut Janna, sejak bergelar isteri dia kini lebih suka menghabiskan masa di rumah dan melakukan aktiviti bersenam bersama suaminya yang juga pelakon Dini Schatzmann.

JANNA Nick.
JANNA Nick.

Mampu tingkat kepercayaan diri

Minat terhadap motosikal dikalangan wanita 'lanjut usia' mampu meningkatkan rasa kepercayaan pada kebolehan diri yang tidak dimiliki wanita lain.

Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) Rafidah Sadarudin berkata, selain mengatasi rasa takut, keyakinan serta kepercayaan yang dibina itu dapat membantu mereka dalam kehidupan harian.

"Secara tidak langsung aktiviti ini dapat membantu perkembangan psikologi individu dari dalam diri mereka," katanya.

RAFIDAH.
RAFIDAH.

Menyentuh mengenai minat wanita pengumpul motosikal ini, beliau berkata, setiap wanita mempunyai minat, hobi dan keinginan berbeza antara satu sama lain berikutan golongan wanita mempunyai motivasi dan minat yang berbeza.

"Ada minat kumpul tas tangan, kasut, cermin mata dan barang kemas, tapi ada juga mempunyai minat berbeza.

"Mereka membentuk ekspresi diri dengan memilih motosikal mencerminkan personaliti gaya dan citarasa mereka.

"Hobi ini jua memberi kepuasan dan kebanggaan apabila pengumpul motosikal ini berkumpul dengan peminat lain. Mereka berkongsi cerita dan menghargai kemahiran dan prestasi masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 8:01 AM