MIRA meminati dunia permotoran menyifatkan usia hanya angka dan ia tidak sewajarnya mengehadkan aktiviti diminati selagi mempunyai kudrat serta menjaga status sebagai isteri dan ibu. FOTO ihsan Mira Yaacob
MIRA meminati dunia permotoran menyifatkan usia hanya angka dan ia tidak sewajarnya mengehadkan aktiviti diminati selagi mempunyai kudrat serta menjaga status sebagai isteri dan ibu. FOTO ihsan Mira Yaacob
Noor Hidayah Tanzizi


Putrajaya: Usia bukan penghalang buat wanita warga emas ini untuk berpenampilan ranggi dan meneruskan minat dalam dunia permotoran hingga pernah berkonvoi ribuan kilometer menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Ibu kepada tiga anak lelaki, Mira Yaacob, 62, berkata, baginya usia hanya angka dan ia tidak sewajarnya mengehadkan aktiviti diminati selagi mempunyai kudrat dan menjaga status sebagai isteri dan ibu.

Menurutnya, minatnya terhadap dunia permotoran bermula sejak remaja dan semakin aktif pada 2008 apabila pulang ke tanah air selepas mengikut suami bertugas di luar negara.

"Sebelum ini saya ada enam motosikal termasuk 'superbike' tetapi sekarang sesuai peningkatan usia saya hanya ada tiga motosikal iaitu dua Harley-Davidson dan sebuah motosikal BMW GS310 yang dimenangi pada cabutan bertuah.

"Saya jual koleksi kesayangan kerana tidak mahu pembaziran disebabkan saya sekarang lebih suka menunggang Harley-Davidson yang pada pendapat peribadi saya motosikal itu lebih sesuai untuk umur seperti saya kerana ia lebih ringan.

"Menunggang motosikal ini adalah minat dan hobi saya. Saya menunggang secara santai saja, setakat ini saya sudah ikut konvoi ke Kemboja dan Thailand selain dalam negara juga.

"Saya juga pernah menunggang motosikal atas jemputan rakan di Korea Selatan dan Doha, Qatar dengan jentera itu disediakan di sana," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Wanita asal Klang, Selangor itu berkata, biarpun dia berjiwa lasak dan berpenampilan ranggi tetapi dia juga seperti ibu lain yang gemar memasak pelbagai juadah, malah lebih suka memasak sendiri di rumah untuk jamuan keluarga.

"Saya juga sukakan kecantikan dan penampilan saya memang ringkas dan ranggi kerana itu jiwa saya. Saya faham di usia begini dengan penampilan seperti ini mungkin ada kecaman tetapi ia tidak sampai telinga saya saja.

"Tetapi bagi saya itu perkara biasa setiap penampilan pasti ada yang akan menjadi 'juri' jadi saya tidak ambil kisah dan mahu menjadi diri sendiri. Bagi saya tidak salah kalau ranggi asalkan saya gembira dan tahu batasan serta tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan," katanya.

Mira yang juga penaung Persatuan Lady Bikers Malaysia berkata, dia bersyukur minatnya tidak pernah dihalang suami dan tiga anak berusia antara 19 hingga 25 tahun, malah mereka tetap memberi sokongan kepadanya yang kini banyak melakukan kerja amal bersama persatuan motosikalnya.

"Sebagai wanita yang terbabit dalam dunia permotoran, kita bukan saja perlu ada ilmu tetapi paling penting mempunyai izin suami atau ibu bapa bagi yang masih bujang untuk aktif dalam bidang ini. Hobi ini akan berterusan selagi ada kudrat dan izin.

"Selain itu apa yang penting juga kita jangan mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Pastikan semua hal rumah tangga diuruskan dengan baik sebelum kita tunggang motosikal biarlah hobi kita selaras dengan tanggungjawab.

"Saya bersyukur suami dan anak tidak pernah halang minat saya dan beri izin untuk saya aktif menunggang motosikal cuma saya agak kecewa sebab tiga anak tidak berminat dalam dunia permotoran biarpun sudah didedahkan sejak kecil.

"Mereka lebih minat kenderaan pacuan empat roda tetapi sebagai ibu saya tidak akan halang minat anak kerana kita semua ada minat masing-masing tetapi kalau mereka juga minat menunggang motosikal pastinya saya lebih gembira," katanya yang turut mengawal makan untuk kesihatan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 4:01 PM