KETUA Pegawai Eksekutif, LADA, Datuk Azizan Noordin (dua kanan) sambil diperhatikan oleh Pengerusi The Royal Langkawi International Bike Fest 2018, Datuk Ahmad Sobri Wan Teh (dua kiri) dan Wakil Syarikat Gracshaw, Farizan Md Akir (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Duta Bike Fest 2018, Fauziah Latif pada Majlis sidang media Langkawi Bike Fest 2018. FOTO Aswadi Alias
KETUA Pegawai Eksekutif, LADA, Datuk Azizan Noordin (dua kanan) sambil diperhatikan oleh Pengerusi The Royal Langkawi International Bike Fest 2018, Datuk Ahmad Sobri Wan Teh (dua kiri) dan Wakil Syarikat Gracshaw, Farizan Md Akir (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Duta Bike Fest 2018, Fauziah Latif pada Majlis sidang media Langkawi Bike Fest 2018. FOTO Aswadi Alias
Lizam Ridzuan


PULAU Langkawi bakal dimeriahkan dengan ribuan motosikal daripada pelbagai jenis dan kategori bersempena The Royal Langkawi International Bike Fest 2018 (TRLIBF 2018) yang dilancarkan, hari ini.

Penganjuran tahunan kali kedua itu bakal dilangsungkan pada 5 hingga 7 Oktober 2018 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, Kedah Darul Aman.

Acara anjuran oleh AH Prima Innovative ini turut mendapat kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), kelab-kelab motosikal, penaja dan hotel dengan tema tahun ini ‘Ride and Relax’.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Haji Azizan Noordin berkata, TRLIBF 2018 akan dilangsungkan dalam dewan MIEC dengan kapasiti yang boleh memuatkan sehingga 2,000 unit motosikal dalam satu masa.

“Ia adalah yang pertama kali di negara ini acara minggu permotoran dilangsungkan dalam keadaan yang lebih kondusif dilengkapi dengan pendingin hawa serta semua kelab berkumpul di bawah satu bumbung,” katanya ketika majlis pelancaran TRLIBF di Kuala Lumpur.

Selain itu Kembara ‘Ladies On Wheel’ akan menghimpunkan lebih 150 penunggang dan akan cuba mencatatkan rekod baru dalam Malaysia Book of Records bagi Kategori Penunggang Wanita Berkonvoi Paling Ramai di Langkawi.

Acara lain menarik sepanjang TRLIBF 2018 ialah Anak Langkawi Road to Race CubPrix, Bikers’s Pencarian Harta Karun, Biker’s Family Fun Fiesta, Pertandingan Motosikal Luar Biasa, Pertandingan Helmet “Rare & Legend”, Pertunjukan akrobatik dan aksi lagak ngeri motosikal serta sudut riadah kanak-kanak dan remaja.

Turut hadir di majlis pelancaran ialah Pengerusi TRLIBF 2018 Datuk Ahmad Sobri Wan Teh, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim dan bekas pelumba motosikal negara Wazi Abdul Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 3:11 PM