Oleh Aziman Rosdi

Petaling Jaya: “Kalau bukan kami, siapa lagi yang mahu mewakili Malaysia di pentas antarabangsa?” kata penyerang Harimau Malaya Mohd Safee Sali yang mempertahankan kesungguhan pemain untuk terus berjuang meskipun berterusan dikecam hebat peminat dan pengkritik bola sepak tanah air.

Jelas Safee, mereka bukan saja berjuang demi maruah negara malah keluarga demi menyahut panggilan skuad kebangsaan biarpun situasi ketika ini tampak sukar.

“Walaupun dikecam begitu teruk kami tetap berjuang demi maruah negara dan keluarga. Jadi apa yang perlu saya katakan, memang pasukan Malaysia meraih beberapa kegagalan tapi buat apa nak dikenang kekalahan itu. Kita harus terus berfikiran positif jika mahu maju,” katanya ketika ditemui Arena Metro pada sesi latihan semalam.

Skuad negara akan turun beraksi sekali lagi dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) tanpa kehadiran penonton di Stadium Shah Alam, esok.

Safee, 33, yang tidak beraksi ketika Harimau Malaya dibedil 0-6 Palestin dalam kempen Kumpulan A Khamis lalu di Amman, Jordan kembali bersama skuad kebangsaan selepas bebas daripada penggantungan.

Kehadiran semula penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu sedikit melegakan pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee yang terpaksa mengetepikan tonggak utama Mohd Amri Yahyah kerana digantung perlawanan dan Ahmad Hazwan Bakri yang meminta pengecualian kerana akan melangsungkan perkahwinan pada 20 November ini.

Safee yang tidak dipilih jurulatih sebelum ini Dollah Salleh ketika Malaysia diaibkan dengan kekalahan terbesar dalam sejarah skuad kebangsaan tewas 0-10 kepada UAE di Abu Dhabi pada 3 September lalu, berharap mampu menyumbang sesuatu kali ini.

“Selepas kekalahan dengan Palestin, ia tugas berat untuk saya apabila dipanggil semula. Saya harap dapat membantu ketika menghadapi UAE.

“Dalam permainan kita ada tugas masing-masing, jadi kesemua pemain perlu memikul tugas ketika menyerang dan bertahan bersama-sama.

“Saya yakin pemain yang ada sekarang sudah bersedia untuk melakukannya,” katanya.

Biarpun prestasinya di pentas antarabangsa kurang menyerlah, pemenang kasut emas Piala AFF 2010 itu satu-satunya penjaring gol negara dalam kempen kelayakan selain Amri apabila meledak gol ketika seri 1-1 dengan Timor Leste Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 7:57 AM