MAKECHE (kanan) dikaitkan dengan pasukan Liga Super dari Lembah Klang.
MAKECHE (kanan) dikaitkan dengan pasukan Liga Super dari Lembah Klang.
Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: FELDA United berdepan ujian getir apabila dua tonggak mereka meninggalkan pasukan itu menjelang aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Darul Ta’zim (Johor DT).

Dua tonggak itu membabitkan pemain berpengaruh di bahagian tengah Shahrulnizam Mustapa selain penyerang import Ndumba Makeche dari Zambia.

Kedua-dua mereka tidak lagi bersama The Fighters sejak awal bulan ini.

Menurut sumber, kontrak kebanyakan pemain FELDA tamat pada penghujung bulan lalu dengan kesemua pemain bersetuju melanjutkan ikatan sebulan lagi ketika pasukan itu bakal bersaing di peringkat kalah mati.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain berkenaan enggan menandatangani kontrak lanjutan itu kerana mahu mewakili pasukan lain, sekali gus merencatkan perancangan pengendali Irfan Bakti Abu Salim yang pasti merasai kehilangan khidmat mereka.

“Ketika ini jurulatih (Irfan Bakti) berada dalam delima bagi menghadapi Johor DT kerana ketiadaan Shahrulnizam dan Ndumba tidak lagi bersama mereka.

“Tindakan kedua-dua pemain itu agak mengejutkan ketika FELDA sedang berusaha memantapkan pasukan kerana ini satu-satunya peluang mereka mendakap piala selepas gagal dalam saingan Piala FA dan Liga Super.

“Namun, sudah menjadi adat dunia bola sepak profesional, apabila ada tawaran lebih baik sudah tentu pemain akan pergi,” katanya.

Difahamkan Shahrulnizam bakal beraksi bersama FELCRA FC yang bermain dalam kancah Liga FAM musim depan dan dijangka menandatangani kontrak dalam masa terdekat ini.

Makeche pula dikaitkan dengan pasukan elit Lembah Klang bagi saingan Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 10:03 AM