AKSI Luciano Gabriel Figueroa ketika meraikan jaringan gol pada perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi. FOTO Bernama
AKSI Luciano Gabriel Figueroa ketika meraikan jaringan gol pada perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi. FOTO Bernama
Oleh Mohd Firdaus Hashim

JOHOR Darul Ta'zim (Johor DT) mengekalkan statusnya selaku pasukan elit dalam saingan apabila mempertahankan gelaran juara Liga Super buat musim kedua berturut-berturut.

Biarpun tewas 1-2, pada aksi terakhir di tangan FELDA United, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi, namum kekalahan Pahang di tangan Terengganu memberikan skuad itu Johor DT kelebihan.

Ternyata janji pengendali FELDA United, Irfan Bakti Abu Salim untuk menjadi pengacau terutama kepada dua pasukan teratas liga menjadi kenyataan apabila skuadnya mendahului juara bertahan itu 1-0 seawal minit keempat menerusi tandukan padu Shahrul Saad buat mengejukan penyokong pelawat.

Belumpun sempat Junior Estdal berpeluh di atas padang, pengadil perlawanan Samsudin Ibrahim terpaksa mengeluarkannya pada minit ke-10, selepas menerima layangan kad merah susulan tindakan liarnya membentes keras penyerang tuan rumah, Makeche Ndumba, di dalam kotak penalti sekali gus, memudahkan tugas Indra Putra Mahayuddin untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-0, seminit kemudian.

Terdesak untuk memburu jaringan, pengendali Johor DT, Mario Gomez membawa masuk pemain sayap, S Chanturu dengan menggantikan Mahali Jazuli bagi menambah sengat di bahagian depan skuad Harimau Selatan.

Pertukaran taktikal itu nyata membuahkan hasil apabila kesilapan pemain tuan rumah, Cristie Jayaseelan yang terjatuh di dalam kotak penalti sebelum tangannya tertampan bola ketika cuba menghalang larian pantas Chanturu sekali gus dihadiahkan sepakan penalti.

Tonggak import pelawat dari Argentina, Luciano Figueroa bijak menewaskan penjaga gol tuan rumah Mohd Farizal Harun menerusi tendangan penaltinya pada minit ke-36 buat merapatkan kedudukan kepada 2-1 yang kekal hingga tamat aksi di babak pertama.

Bersambung babak kedua, The Fighters meningkatkan asakan ke kubu pelawat namun dengan berbekalkan hanya 10 pemain di atas padang Johor DT tenang menggagalkan semua gerakan penyerang tuan rumah.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus piala itu kekal di bumi Johor Darul Tazim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 11:16 PM