Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sentuhan pemusnah berbisa dimiliki dua penyerang import FELDA United, Ndumba Makeche dan Edward Junior Wilson pasti menjadi igauan buat Johor Darul Ta’zim (Johor DT) apabila kedua-dua pasukan dijadual berentap pada separuh akhir pertama Piala Malaysiadi Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Isnin ini.

Berdasarkan statistik jaringan aksi suku akhir pertama dan kedua ketika menentang Selangor, dua awang import itu meledak jaringan dengan Makeche menjaringkan hatrik di Shah Alam manakala Wilson menyumbangkan dua gol di Temerloh.

Lantas, Bojan Hodak pastinya tidak lena memikirkan strategi ampuh mengekang kelincahan kedua-dua penyerang itu yang kerap mengkucar-kacirkan barisan pertahanan di samping bijak membuka ruang kepada rakan sepasukan lain meledakkan jaringan.

Makeche, 22, pemain kelahiran Zambia yang mendapat kerakyatan Australia berkata, walaupun Johor DT dilabel pasukan paling mewah dalam liga tempatan, dia sedikitpun tidak ‘goyang’ malah percaya aksi konsisten pasukannya mampu meranapkan ‘ego’ skuad Harimau Selatan itu.

“Dalam liga tempatan kami memang belum pernah bertemu kerana mereka bermain dalam Liga Super dan kami, Liga Perdana.

“Tetapi ketika saya bersama dengan Perth Glory (kelab Australia) musim lalu, saya pernah bermain aksi persahabatan dengan Johor DT yang datang ke sana dan saya menyumbat satu gol ketika kami menang 2-0.

“Saya lihat tidak banyak perubahan pada permainan mereka dan pemain juga sama, cuma jurulatih saja bertukar. Saya yakin dapat menembusi pertahanan mereka dan berjanji berusaha menyumbangkan gol buat pasukan,” katanya.

Isnin ini, gandingan penyerang import The Fighters serta dibantu beberapa pemain berpengalaman tempatan seperti Indra Putra Mahayuddin, Shahrulnizam Mustapa dan Muhammad Shukor Adan pasti menjadi taruhan terbaik Irfan Bakti merealisasikan impian mara ke final, sekali gus mencipta sejarah baru dalam Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:07 AM