Oleh Azlan Muhammad Zain


Bangi: FELDA United mahu merealisasikan impian meraih sekurang-kurangnya satu piala pada Liga M 2015.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu diletakkan sasaran untuk melangkah ke Piala AFC musim 2016 sekali gus menyaksikan kejuaraan Liga Super dan Piala FA menjadi rebutan.

“Pasukan kita sudah mencapai prestasi membanggakan musim lalu apabila menempah tiket ke Liga Super 2015 apabila bergelar naib juara Liga Perdana.

“Malah muncul naib juara Piala FA dan separuh akhir Piala Malaysia. Ini adalah pencapaian membanggakan apabila pasukan yang dahulunya di pandang sepi kini mampu melakar kejutan,” kata Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Abdul Samad yang juga Penaung Kelab Bolasepak FELDA United.

Tambahnya, kejayaan yang dicapai tidak seharusnya membuatkan kelab itu berpuas hati.

“Sasaran pada musim ini adalah layak ke peringkat AFC. Jika layak, nama FELDA secara tidak langsung terus dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.

The Fighters kendalian Irfan Bakti Abu Salim mengekalkan 19 pemain musim lalu termasuk tiga pemain import, Edward Junior Wilson, Zah Rahan Krangar dan Makeche Ndumba.

Manakala khidmat pertahanan dari Uzbekistan, Yaroslav Krushelnitsky diganti bekas pemain kelab Pakhtakor, Bojan Miladinovic dari Serbia.

Mereka turut ditunjangi beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Farizal Harun dan Mohd Fauzan Dzulkifli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:16 AM