Seorang penduduk menunjukkan lokasi Shahril Amri (kiri ) dan Ahmad Rozaimim lemas ketika mandi tengah hari tadi. FOTO Mohd Aizat Sharif
Seorang penduduk menunjukkan lokasi Shahril Amri (kiri ) dan Ahmad Rozaimim lemas ketika mandi tengah hari tadi. FOTO Mohd Aizat Sharif
Oleh Mohd Aizat Sharif


Kangar: Dua budak lelaki berusia tujuh tahun ditemui lemas dalam kolam takungan air di kawasan sawah di Kampung Syed Omar, Jalan Batu Pahat, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa, Ahmad Rozaimi Rosli dan rakannya Shahril Amri Ramli pergi ke kawasan kolam takungan air itu untuk mandi bersama seorang lagi rakan.

Bagaimanapun, ketika mandi, dua kanak-kanak itu tenggelam menyebabkan seorang lagi rakan mereka meminta bantuan daripada penduduk kampung yang tinggal di sekitar kawasan itu.

Timbalan Ketua Polis Kangar Deputi Superintendan Zaini Talib berkata, pemilik sawah pada mulanya menegur dan menyuruh mereka beredar disebabkan kawasan itu berbahaya kerana tanahnya lembut dan berlumpur.

"Bagaimanapun, selepas beredar mereka datang semula dan terus terjun ke kolam berkenaan sebelum tenggelam," katanya.

Difahamkan, dasar kolam itu tidaklah begitu dalam namun ianya dipenuhi lumpur dan batu menyukarkan pergerakan sesiapa sahaja memasuki kolam itu.

Malah, kolam takungan air itu juga terbentuk selepas kerja mengorek tanah sawah itu yang mahu dibuat rumah.

"Mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang melakukan pencarian di kolam itu," katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 8:13 PM