OLAHRAGA dan akuatik sukan yang wajib dipertandingkan.
OLAHRAGA dan akuatik sukan yang wajib dipertandingkan.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberikan peringatan agar persatuan sukan kebangsaan (NSA) segera menyerahkan cadangan acara Sukan SEA 2017 seperti ditetapkan sebelum ini.

Setiausaha Kehormat MOM Datuk Low Beng Choo berkata, beliau akan mendapatkan maklumat terkini jumlah NSA yang sudah dan belum berbuat demikian dalam tempoh terdekat sebelum dipanjangkan pada mesyuarat Majlis Eksekutif MOM Sabtu ini.

“Mungkin ada NSA yang masih melakukan pindaan terhadap cadangan awal yang dihantar sebelum ini. Bagaimanapun peringatan akan diberikan kepada mereka untuk segera berbuat demikian,” katanya.

Namun pada masa sama Beng Choo mengingatkan persatuan sukan kebangsaan (NSA) agar memberikan cadangan acara yang realistik dan bersesuaian dengan matlamat bergelar juara keseluruhan Sukan SEA 2017.

Beng Choo menegaskan, kecuali olahraga dan akuatik yang wajib dipertandingkan, tiada sukan ‘berada dalam situasi selamat’ untuk terpilih pada temasya dwitahunan itu.

“Mungkin beberapa sukan lain yang sering didominasi atlet negara boleh dikatakan selamat namun yang lain bergantung kepada cadangan dikemukakan.

“Jadi sama ada sukan berkenaan tersenarai atau sebaliknya, terpulang kepada cadangan mereka. Jika cadangan tidak munasabah, jangan salahkan kami jika digugurkan nanti,” katanya.

Tambahnya, peluang atlet negara untuk memenangi pingat emas perlu diberikan perhatian serius kerana sasaran Malaysia adalah bergelar juara pada edisi ke-29 itu.

“Jangan mencadangkan sehingga 20 acara namun hanya lima emas mampu diraih atlet negara. Kita perlu berwaspada dengan negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Singapura pernah mengatasi kita dari segi kedudukan keseluruhan,” jelasnya.

Arena Metro semalam melaporkan kekesalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan SEA 2017 Datuk Seri Zolkples Embong terhadap sikap ‘acuh tidak acuh’ sesetengah NSA yang masih belum menghantar cadangan acara walaupun seharusnya berbuat demikian selewat-lewatnya Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 8:39 AM