Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) masih perlu menanti sehingga penghujung bulan depan untuk mengetahui nasib mereka sama ada tersenarai atau digugurkan pada temasya Sukan SEA 2017.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar (gambar) menjelaskan cadangan jenis sukan dan jumlah acara akan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA 2017 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Hari ini (semalam) kami (jawatankuasa teknikal) melakukan penilaian selepas mengadakan perbincangan bersama semua NSA bulan lalu.

“Kami akan memanjangkan cadangan akhir kepada Menteri Belia dan Sukan. Jadi saya masih belum boleh mendedahkannya (sukan yang kekal atau gugur),” kata Tunku Imran selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal itu.

Persekutuan Sukan SEA (SGF) turut dijadualkan bermesyuarat penghujung bulan depan bagi membincangkan perkara itu.

Sebanyak 39 sukan disenaraikan untuk dipertimbangkan dengan misi memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan.

Tunku Imran berkata, beberapa jenis sukan akan digugurkan selepas mengambil kira pelbagai faktor namun enggan mendedahkan jumlah sebenar.

“Sudah pasti kurang dari 39. Pasti akan ada rayuan dengan pelbagai faktor akan dipertimbangkan seperti alasan diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 9:58 AM