Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Sebanyak 39 persatuan sukan kebangsaan (NSA) perlu membuktikan kemampuan mereka untuk meraih sebanyak mungkin emas bagi membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017.

Jika gagal meyakinkan, acara sukan itu tidak akan dipertimbangkan bagi disenaraikan pada temasya dwitahunan berkenaan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, sebanyak 39 NSA yang dijemput untuk mesyuarat teknikal kali ketiga semalam diberikan tempoh sebulan bagi membentangkan perancangan masing-masing.

“NSA perlu menyediakan kemungkinan kos terbabit, gelanggang yang akan digunakan dan sudah pasti paling penting, potensi pingat mereka bakal menang.

“Keputusan akhir mengenai sukan yang akan dipertandingkan bergantung kepada kriteria berkenaan. Bermula November, perbincangan dengan NSA akan dimulakan dengan keputusan akhir jenis sukan bakal dipertandingkan akan diketahui Februari tahun depan.

“Kita mungkin melangsungkan temasya di Kuala Lumpur pada 19 hingga 31 Ogos 2017, “ tambahnya.

Persekutuan Sukan SEA (SGF) membenarkan maksimum 38 jenis sukan dan minimum 24 dengan olahraga dan akuatik menjadi acara wajib.

Menjelaskan lebih lanjut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan SEA 2017 Datuk Seri Zolkples Embong berkata, NSA perlu mengemukakan cadangan lebih realistik terutama berkaitan bajet.

“Ini kerana pertimbangan untuk disenaraikan bergantung kepada bajet disediakan nanti. Mereka juga perlu melakukan persediaan termasuk cadangan menaik taraf gelanggang, peralatan terbabit, pegawai teknikal dan sukarelawan,” jelasnya.

Tiga sukan baru judo, kenu dan bola tampar turut berada dalam senarai untuk dipertimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 7:11 AM