SUKAN polo berpeluang raih pingat emas pada Sukan SEA 2017.
SUKAN polo berpeluang raih pingat emas pada Sukan SEA 2017.
Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Polo memang ada dalam perancangan kami, namun mereka (Persatuan Polo Diraja Malaysia) masih belum memberi apa-apa cadangan kepada kami.

“Sekiranya masih tetap senyap, kemungkinan polo terpaksa digugurkan.”

Demikian penjelasan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo berhubung gesaan ketua pasukan polo negara, Shaik Reismann Ismail (gambar) yang mahu sukan itu disenaraikan pada saingan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Jelasnya, sejak awal lagi pihaknya sudah menyedari potensi sukan itu dalam memberikan pingat emas buat kontinjen negara yang turut meletakkan matlamat bergelar juara keseluruhan edisi ke-29 itu.

“Peluang kita untuk muncul juara menerusi sukan polo amat cerah berdasarkan kualiti dan tahap permainan pasukan kita yang lebih baik daripada negara lain di rantau ini. Ini peluang terbaik untuk meraih seberapa banyak pingat emas.

“Sebab itu kita senaraikan polo dalam kategori ekuestrian bersama-sama tiga disiplin lain iaitu showjumping, dressage dan endurance.

“Tapi, sehingga kini kami masih belum menerima apa-apa maklum balas atau cadangan daripada mereka. Apa yang kita mahu adalah bajet keseluruhan dan sasaran pingat untuk sukan itu nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Semalam, Shaik melahirkan keyakinan sekiranya skuad polo negara bertanding pada temasya dwitahunan itu, Malaysia mampu menggondol emas buat kali ketiga berturut-turut selepas Korat, Thailand (2007) dan Singapura (1993).

Sementara itu, Beng Choo mendedahkan pihaknya terpaksa mengubah pendekatan lain terhadap persatuan sukan kebangsaan (NSA) terutama dalam mendapatkan cadangan acara dalam temasya itu.

Katanya, sehingga ke hari ini masih terdapat beberapa NSA yang gagal berbuat demikian dan MOM akan mengadakan pertemuan ‘empat mata’ dengan setiap persatuan yang dijangka mengambil masa dua bulan bermula minggu depan.

“Saya akan melakukan sedikit perubahan dengan membuat pertemuan bersama persatuan di pejabat mereka. Mungkin mereka terlalu sibuk sampai terlupa menghantar cadangan kepada MOM dan kaedah terbaik adalah pergi berjumpa mereka.

“Saya harap masalah ini dapat diselesaikan segera agar persiapan atlet dan pasukan tidak terganggu dalam misi negara menjadi juara keseluruhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:01 AM