BENG Choo (kanan) ketika menghadiri program ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah Sukan’ semalam.
BENG Choo (kanan) ketika menghadiri program ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah Sukan’ semalam.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Perubahan jadual pertandingan Sukan SEA 2017 yang dilakukan tidak akan menjejaskan perancangan Malaysia bergelar juara keseluruhan seperti disasarkan.

Jelas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo, aspek berkenaan turut menjadi perhatian pihaknya selain tidak menjejaskan siaran secara langsung.

“Sebab itu apabila membuat jadual, kami akan melihat sama ada bakal memberi kesan kepada atlet negara. Sehingga kini saya boleh katakan tiada.

“Jadual muktamad yang membabitkan perubahan bagi beberapa jenis sukan dijangka diumumkan minggu ini selepas saya bermesyuarat dengan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) hari ini (semalam),” katanya selepas menghadiri program ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah Sukan’ bersama Pemimpin Badan Sukan Kebangsaan semalam.

Tarikh penutup Sukan SEA 2017 yang dirancang pada 31 Ogos diawalkan sehari bagi menghormati Hari Wukuf dengan temasya akan berlangsung selama 12 hari.

Bola sepak antara sukan yang terbabit dengan perlawanan akan berlangsung sehari awal bermula 14 Ogos selain renang dan terjun.

Jelas Beng Choo, persatuan sukan kebangsaan yang terbabit memahami pertukaran terutamanya dalam aspek perancangan siaran langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 4:16 AM