ASUS Zenfone Selfie memang praktikal
ASUS Zenfone Selfie memang praktikal
Oleh Afiq Hanif

Telefon pintar kini menjadi kamera utama bagi kebanyakan pengguna manakala kualiti fotografi telefon pintar turut meningkat ke tahap yang tiada lagi keperluan untuk memiliki kamera kompak.

Apa lagi, kini fotografi yang kebanyakannya digital dan penyimpanannya mudah saja dicapai malah dengan trend selfie, segalanya hanya dilakukan dengan telefon.

Itulah konsep yang dilihat pada ASUS Zenfone Selfie dijual pada harga RM1,049 ternyata menjadi produk yang berbaloi setanding harganya.

Dari aspek rekaan, bahagian belakangnya mempu­nyai sedikit lengkung dengan butang kuasa terletak di bahagian atas.

Menariknya, ruang kiri dan kanan telefon ternyata dikosongkan tanpa butang volum yang biasa ada pada mana-mana peranti mudah alih.

Ia ternyata menampakkan telefon ini agak kemas dan minimum dengan slot mikroUSB saja di bahagian bawahnya.

Penutup belakang boleh dibuka bagi menukar bateri berkapasiti 3000mAh dengan dua slot kad SIM serta kad mikroSD.

Zenfone Selfie dipadatkan dengan RAM 3GB yang turut menggunakan kuasa pemproses Qualcomm Snapdragon 615.

Kamera depan dan belakangnya menggunakan resolusi 13MP yang mampu merakam foto pada format HDR menjadikan foto anda mengagumkan walaupun pada kamera depan.

Ia datang dengan saiz skrin 5.5 inci yang mempu­nyai format 1920 x 1080 piksel dengan kuasa 403ppi.

Zenfone Selfie mempunyai dwi tona LED flash bagi meng­indahkan imej dan didatangkan dengan fokus makro sehingga 6sm.

Sesuai dengan namanya, Zenfone Selfie mempunyai ruang lensa yang baik untuk merakam foto iaitu apertur jenis f/2.2 dengan sudut lebar pandang sehingga 88 darjah di depan menjadikannya telefon menarik untuk berselfie.

Kamera belakang pun yang mempunyai sensor 13 megapiksel sama dengan f/2.0 dan sistem fokus automatik memberikan tenaga fotografi yang mengagumkan.

Ia merakam dengan baik meskipun anda berada dalam keadaan pencahayaan yang malap iaitu ciri yang menjadi nadi kepada ASUS.

Keupayaan fokus automatik dan makro menjadikan Zenfone Selfie sangat padan ketika digunakan dalam fotografi mudah alih

Aplikasi kamera mempunyai beberapa mod yang menonjol seperti standard automatik, manual terperinci, HDR, panorama, gerak perlahan, ‘smart remove’, animasi GIF dan ‘time lapse’.

Kamera depan juga boleh menggunakan segala mod terbabit selain terdapat pilihan merakam selfie secara panorama yang sesuai untuk memperlihatkan wajah dan latar belakang luas.

Prestasi telefon juga agak menarik dengan RAM sebanyak 3GB terbabit melancarkan operasi telefon terutama ketika merakam terlalu banyak foto dan bermain game santai.

Jangka hayat bateri juga nampak seperti telefon pintar lain apabila ia mampu bertahan selama 12 jam sekiranya penggunaannya aktif seperti diuji penulis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 9:09 AM