PEKERJA kesihatan Sierra Leone bersiap sedia membawa mayat mangsa Ebola keluar dari sebuah rumah di Freetown untuk dikebumikan.
PEKERJA kesihatan Sierra Leone bersiap sedia membawa mayat mangsa Ebola keluar dari sebuah rumah di Freetown untuk dikebumikan.

Geneva: Kumpulan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) semalam berkata, ia akan mula menjalankan ujian ubat Ebola dan darah bekas penghidap wabak itu buat kali pertama dalam masa sebulan lagi.

Ujian yang akan dijalankan di Guinea itu bertujuan menyegerakan penawar bagi menangani Ebola yang sejak Disember tahun lalu sudah meragut lebih 5,000 nyawa.

“Ini adalah perkongsian antarabangsa yang diharapkan dapat memerangi Ebola yang sudah membunuh antara 50 dan 80 peratus penghidapnya,” kata Annick Antierens, penyelaras ujian berkenaan.

Ujian pertama dijangka bermula Disember ini dan keputusannya hanya boleh diperoleh Februari depan.

Hampir semua kematian akibat Ebola berlaku di Liberia, Sierra Leone dan Guinea.

Bagaimanapun, beberapa kes juga dilapor berlaku di Nigeria, Senegal, Amerika Syarikat dan Sepanyol.

Dalam pada itu, Mali berusaha mencegah wabak itu merebak di negara itu selepas seorang ulama meninggal dunia bulan lalu kerana penyakit itu dan jururawat yang merawatnya mati minggu ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:04 AM