Geneva: Angka kematian akibat wabak Ebola paling buruk di dunia menjangkau 4,500 orang, lebih separuh daripada 9,000 mangsa yang dijangkiti.

Dalam laporan terbarunya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, 4,555 mati akibat Ebola daripada 9,216 kes didaftarkan di tujuh negara setakat 14 Oktober lalu.

Hanya dua hari lalu angka kematian dicatatkan 4,493 daripada 8,997 kes.

Menurut laporan terbaru itu, Liberia paling buruk dilanda dengan 4,462 kes dan 2,484 kematian setakat 13 Oktober, diikuti Sierra Leone dengan 3,410 kes pada 14 Oktober dengan 1,200 kematian.

Guinea, tempat wabak itu bermula Disember lalu, mempunyai 1,519 kes dan 862 kematian setakat 14 Oktober.

Pekerja kesihatan terus menanggung kesan berat kerana usaha mereka dengan 239 kematian daripada 423 kes jangkitan di seluruh negara itu, termasuk dua yang dijangkiti di Amerika Syarikat dan seorang di Sepanyol.

Sementara itu, WHO turut dipersalahkan kerana gagal mengambil langkah awal mengekang penularan Ebola di Afrika Barat.

Perkara itu didedahkan dalam draf laporan WHO yang menunjukkan badan itu gagal mengelak virus itu merebak selepas pertama kali dikesan disebabkan kakitangan yang tidak berpengalaman dan kekurangan maklumat.

WHO turut dilihat gagal menjangka kaedah pembendungan penyakit berjangkit biasa tidak sesuai digunakan di rantau yang sempadannya mudah dilintasi selain mempunyai sistem kesihatan yang tidak sempurna.-AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:01 AM