Foto hiasan
Foto hiasan
Reuters

Madrid: Pihak berkuasa kesihatan Valencia, Sepanyol mengesan kes pertama disyaki penyakit berjangkit Marburg, yang membawa maut dan mengakibatkan lebih 200 orang dikuarantin di negara Equatorial Guinea.

Seorang lelaki berusia 34 tahun, yang pernah melawat Equatorial Guinea, dipindahkan dari hospital swasta ke unit isolasi di Hospital La Fe di Valencia sementara ujian sedang dijalankan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan virus Marburg menyebabkan kematian sehingga 88 peratus dan tiada vaksin atau rawatan antivirus yang diluluskan untuk merawatnya.

Negara Equatorial Guinea di Afrika Tengah sudah mengasingkan lebih 200 orang dan mengehadkan pergerakan di wilayah Kie-Ntem, tempat demam berdarah pertama kali dikesan, sejak 13 Februari lalu.

Negara itu setakat ini melaporkan sembilan kes kematian serta 16 kes yang disyaki berpunca dari penyakit itu, dengan gejala termasuk demam, keletihan, muntah berlumuran darah dan cirit-birit.

WHO berkata, ia meningkatkan pengawasan epidemiologinya di Equatorial Guinea.

Pihak berkuasa Cameroon mengesan dua kes yang disyaki penyakit Marburg di Olamze, sebuah komuniti di sempadan dengan Equatorial Guinea, pada 13 Februari lalu.

Delegasi kesihatan awam untuk wilayah itu, Robert Mathurin Bidjang, berkata Cameroon juga mengehadkan pergerakan di sepanjang sempadan untuk mengelakkan penularan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 6:21 PM