Chong Wei juara Terbuka Perancis. FOTO arkib NSTP
Chong Wei juara Terbuka Perancis. FOTO arkib NSTP
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei berjaya menebus kekecewaan tersingkir awal di tiga kejohanan sebelum ini apabila muncul juara Terbuka Perancis di Stadium Pierre de Coubertin, Perancis malam tadi.

Chong Wei, 33, menumpaskan juara bertahan dari Taiwan, Chou Tien Chen 21-13, 21-18 dalam tempoh 47 minit.

Sebelum ini, Chong Wei tersingkir awal di Terbuka Jepun (pusingan kedua), Terbuka Korea Selatan (peringkat kelayakan) dan Terbuka Denmark (pusingan kedua).

Ini juga kali ketiga bekas pemain nombor satu dunia itu muncul juara Terbuka Perancis selepas 2007 dan 2011, serta kali pertama meraih kejuaraan bertaraf Siri Super (kali terakhir Terbuka Jepun tahun lalu pada bulan Jun).

Sejak bebas penggantungan akibat gagal ujian doping 30 April lalu Chong Wei sekadar meraih kejuaraan bertaraf Grand Prix (GP) Emas dan GP di Terbuka Amerika Syarikat dan Kanada.

Chong Wei yang kini menduduki ranking ke-19 dunia mencari slot automatik ke Sukan Olimpik 2016 Rio, iaitu perlu berada dalam ranking 16 pemain terbaik dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 10:42 PM