Oleh Dr Adilah Ahmat

Faraj saya sering sakit selepas melakukan hubungan kelamin. Sebenarnya, keadaan ini berpanjangan sehingga saya tidak selesa untuk melakukannya lagi.

Di bahagian faraj saya seakan-akan bernanah walaupun saya menggunakan pencuci antibakteria, ia tidak berkesan.

Selepas bersama suami, faraj saya terasa pedih apabila mahu dicuci atau membuang air kecil. Adakah keadaan ini memudaratkan? Harap doktor dapat memberi nasihat.

Sha, Selangor

Sudahkah anda menjalani pemeriksaan doktor? Apakah yang anda maksudkan dengan pernyataan faraj bernanah? Sebahagian besar dinding faraj sukar dilihat sendiri kecuali yang berhampiran dengan bukaan atau pintu faraj saja.

Adakah anda maksudkan terdapat nanah keluar dari lubang faraj? Jika benar, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Pedih apabila terkena air lazimnya disebabkan oleh luka. Sekiranya anda mengalami jangkitan kuman pada lubang faraj, luka boleh terjadi akibat geseran sewaktu hubungan seks dan ini boleh menyebabkan kuman masuk ke dalam dinding faraj.

Kuman penyebab jangkitan perlu diketahui jenisnya kerana ubatnya berlainan. Ada jenis kuman yang lazim dialami wanita dan tidak memudaratkan. Ada juga jenis kuman yang bersifat dijangkiti akibat hubungan seks dan ia memerlukan penyiasatan lanjut termasuk mengesan jangkitan berkaitan seks yang lain. Sesuatu yang juga berkaitan, sudahkah anda menjalani ujian Pap smear?.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 11:23 AM