Oleh Dr Adilah Ahmat

Saya berumur 24 tahun dan sudah lapan bulan berkahwin. Saya ingin bertanya, adakah kemungkinan untuk saya mengalami keadaan tidak subur, sekali gus tidak mampu mengandung?

Untuk pengetahuan dok­tor, haid saya teratur setiap bulan. Saya ingin tahu me­ngenai telur yang tidak keluar atau tidak matang biarpun haid wanita itu teratur.

Adakalanya saya juga mengalami kentut faraj apabila bersama suami. Apakah punca keadaan itu?

Ellyse,

Kuala Lumpur

Pada usia perkahwinan anda, lebih 60 peratus wanita sudah pun hamil. Apabila memasuki setahun perkahwinan (tempoh mencuba ­dengan melakukan hubungan seks dua hingga tiga kali seminggu tanpa sebarang kaedah pencegahan) pula, peratus yang berjaya hamil meningkat kepada lebih 85 peratus.

Saya belum pasti sama ada anda subur atau sebaliknya. Haid teratur lazimnya bermakna mungkin ada pengeluaran telur, tetapi ia tidak semestinya begitu. Tidak salah jika anda dan suami ingin menjalani pemeriksaan kesuburan lebih awal. Tidak salah juga jika anda ingin menunggu sehingga genap setahun anda berkahwin atau mencuba.

Angin yang keluar dari faraj mungkin udara yang masuk sewaktu penetrasi seks. Dalam posisi tertentu, ia lebih mudah berlaku. Sekiranya ia mengeluarkan bau busuk, anda perlu menjalani pemeriksaan doktor untuk mengesan kemungkinan kebocoran pada dinding faraj dan usus di belakangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:00 AM