FOTO ihsan abcnews
FOTO ihsan abcnews
Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 November ini untuk keputusan permohonan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memohon membatalkan saman empat individu berhubung pembentangan rang undang-undang hudud di Parlimen.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas kedua-dua pihak selesai berhujah.

Peguam Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Sulaiman Abdullah mewakili Abdul Hadi manakala peguam Siti Kassim mewakili empat individu itu iaitu peguam Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbee-maputera Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin selaku plaintif.

Sementara itu, Takiyuddin ketika ditemui berkata, pihaknya memohon untuk membatalkan saman itu kerana ia bersifat pra matang selain salah dari segi prosedur.

Katanya, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mempersoalkan prosiding di dalam parlimen.

Abdul Hadi memfailkan permohonan untuk membatalkan saman empat individu yang mahu menghalang pembentangan rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pada sidang parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 3:45 PM