KUALA LUMPUR 02 APRIL 2014. (GAMBAR FAIL) Bangunan Balai Berita Jalan Riong, Kuala Lumpur. NSTP/Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR 02 APRIL 2014. (GAMBAR FAIL) Bangunan Balai Berita Jalan Riong, Kuala Lumpur. NSTP/Asyraf Hamzah
Murni Wan Omar


KES saman Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad terhadap New Straits Times Press (M) Bhd dan tiga lagi berhubung pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, diselesaikan secara baik.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Aliza Sulaiman merekodkan penghakiman persetujuan selepas bertemu kedua-dua pihak di dalam kamarnya di Kuala Lumpur.

Plaintif iaitu Khalid diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil manakala NSTP, bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali serta dua wartawan, Hazwan Faisal Mohamad dan Rohaniza Idris sebagai defendan diwakili peguam Datuk M Reza Hassan dan Ellia Zuraini Mat Zin.

Berdasarkan persetujuan, semua defendan dikehendaki membayar ganti rugi RM60,000 kepada plaintif dalam tempoh 30 hari .

Selain itu, defendan hendaklah menerbitkan artikel mengandungi wawancara khas temubual berhubung pendapat sebenar plaintif berhubung isu Usul Persendirian RUU355.

Pada Februari tahun lalu, Khalid memfailkan saman terhadap semua defendan mendakwa terdapat fitnah dalam laporan berita yang disiarkan di Berita Harian.

Berita Harian didakwa ada mengeluarkan artikel bertajuk “Selepas 20 tahun terhalang, rang undang-undang mahkamah syariah akhirnya dibentang di Parlimen, kerajaan beri PAS laluan, DAP; Amanah bantah” pada 27 Mei 2016.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khalid yang ketika itu Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa artikel itu membawa maksud bahawa beliau membantah pembentangan rang undang-undang itu.

Sementara itu NSTP dalam penyataan pembelaan mendakwa artikel itu tidak berniat jahat dan laporan dibuat berdasarkan prosiding sebenar di Dewan Rakyat.

NSTP mendakwa sebagai media organisasi, mereka mempunyai tanggungjawab sosial untuk membuat laporan berhubung perkara itu kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 11:26 AM