Agensi

Moscow: Jet tentera Russia buat kali pertama melancarkan serangan udara terhadap kumpulan Negara Islam (IS) di Syria, semalam.

Serangan itu menyasarkan kedudukan IS di sekitar bandar Homs, kenderaan dan gudang yang ia percaya milik kumpulan itu, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Russia Igor Konashenkov kepada agensi berita negara itu.

Dewan Negara Russia sebelum ini mengundi sebulat suara untuk memberi lampu hijau kepada Presiden Vladimir Putin mengerahkan serangan udara di Syria.

Moscow menempatkan beberapa jet pengebomnya dan senjata lain di Damsyik sejak beberapa minggu lalu sebagai persediaan melancarkan serangan berkenaan.

Imej yang dirakam satelit menunjukkan jet pengebom yang ditempatkan di ibu negara Syria itu, termasuk Su30, Su 25, Su24 dan beberapa helikopter bersenjata Ka-522.

Persetujuan Parlimen Russia itu menyusuli mesyuarat Putin dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di New York, tempat kedua-dua pemimpin berkenaan membincangkan situasi di Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:28 AM