PELURU berpandu dibedil Amerika dan sekutunya melintasi Dasmyik. - Agensi
PELURU berpandu dibedil Amerika dan sekutunya melintasi Dasmyik. - Agensi
Agensi

Moscow/Damsyik/Beirut: Sistem pertahanan udara Syria yang dianggap usang kerana menggunakan kelengkapan era Soviet Union berjaya memintas 71 daripada 103 peluru berpandu cruise, termasuk Tomahawk yang dibedil pesawat dan kapal Amerika Syarikat, Britain dan Perancis ketika menyerang sasaran di Syria, semalam.

AFP melaporkan, pegawai kanan tentera Russia di Moscow, Sergei Rudskoi, berkata: “Semuanya 103 peluru berpandu cruise dilancarkan. Sebanyak 71 daripadanya dipintas.”

Menurut Rudskoi, sistem pertahanan udara Syria buatan era Soviet Union sudah berusia 30 tahun namun diperbaiki Russia, termasuk sistem penangkis peluru berpandu S-200 dan peluru berpandu Buk.

Russia tidak menggunakan sistem pertahanan udaranya yang ditempatkan di Syria bagi menangkis serangan semalam.

Rudskoi juga mengesahkan tiada orang awam atau tentera, sama ada Russia atau Syria terbunuh dalam serangan itu.

Beliau berkata, Russia kini menimbang kembali untuk membenarkan sistem pertahanan udara S-300 dibekalkan bukan saja kepada Syria, malah negara sekutunya di Teluk.

Pada 2013, Presiden Vladimir Putin memberi jaminan kepada Kesatuan Eropah ia tidak akan membekalkan S-300 kepada kerajaan Presiden Bashar al-Assad.

Bagaimanapun, Russia menggunakan S-300 dan S-400 bagi melindungi pangkalan udara dan kemudahan tentera lautnya di Syria.

Amerika, Britain dan Perancis melancarkan serangan selama kira-kira sejam, menyasarkan lokasi tertentu di Syria selepas mendakwa rejim Bashar menggunakan senjata kimia menyebabkan puluhan orang awam terbunuh di Douma, Ghouta, 7 April lalu.

Reuters melaporkan, pegawai kanan tentera Perancis menyatakan negara itu menggunakan pesawat penggempur dan kapal frigate dalam serangan itu yang melancarkan 12 peluru berpandu.

Pegawai itu tidak menyebut mengenai sebarang peluru berpandu Perancis dipintas Syria.

Kementerian Pertahanan Britain menyatakan ia menggunakan empat pesawat Tornado bagi melancarkan peluru berpandu Storm Shadow terhadap pangkalan udara Syria yang terletak 24 kilometer dari Homs, dekat Damsyik.

Sekurang-kurangnya satu peluru berpandu mensasar pangkalan tentera di Homs berjaya dipintas, menyebabkan ia terkeluar dari laluan dan mencederakan tiga orang awam.

Dalam serangan serentak oleh aset ketiga-tiga negara selama sejam itu, antara yang menjadi sasaran ialah pusat penyelidikan saintifik di Damsyik yang menurut Pentagon menjadi pusat membangun, mengeluar dan menguji senjata kimia serta biologi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 6:23 AM