PETA menunjukkan lokasi pangkalan udara T4 di Syria yang menjadi sasaran jet pejuang Israel. - Agensi
PETA menunjukkan lokasi pangkalan udara T4 di Syria yang menjadi sasaran jet pejuang Israel. - Agensi
Daily Mail

Damsyik: Dua jet pejuang F-15 yang dipercayai milik tentera Israel menyerang sebuah pangkalan tentera udara Syria di wilayah Homs semalam menyebabkan 14 orang maut.

Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran, Syria perlu membayar ‘harga yang mahal’ selepas melancarkan serangan kimia yang membunuh puluhan kanak-kanak.

Syria dan Russia menuduh Israel menyerang pangkalan tentera udara Tijas di Homs, antara pangkalan udara utama negara itu.

Moscow berkata, dua jet pejuang F-15 milik Israel melancarkan serangan ketika terbang di ruang udara Lubnan, membedil lapan peluru berpandu.

Lima daripada peluru berpandu berkenaan berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Syria.

Israel tidak memberi sebarang komen mengenai serangan berkenaan tetapi negara itu sebelum ini dilaporkan pernah melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran tentera di Syria termasuk pangkalan udara berkenaan.

AS dan Perancis turut menafikan melancarkan serangan itu yang dilaporkan membunuh beberapa pejuang Iran yang menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Syria sebelum ini dikecam hebat selepas dituduh melancarkan serangan kimia pada Sabtu lalu di kedudukan terakhir kumpulan penentang di pinggir Damsyik.

Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dalam serangan itu dengan media menyiarkan imej menggerunkan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang sukar bernafas serta mulut berbuih.

Pasukan perubatan memberitahu, kebanyakan mangsa mempunyai bau klorin yang kuat.

Bagaimanapun, Syria dan sekutu rapatnya, Russia menafikan tentera rejim itu menggunakan senjata kimia dalam serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 6:08 AM