Petaling Jaya: Kemelut penganjuran sulung Liga Bolasepak Rakyat (LBR) berakhir selepas wakil Wilayah Persekutuan Labuan dibenarkan menyertai semula 12 pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang sebelum ini mengancam menarik diri daripada kejohanan itu.

Keputusan itu dicapai melalui perjumpaan di antara wakil LBR, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), dan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) yang bersetuju menyenaraikan semula Labuan bagi saingan Zon Tengah 2 LBR.

Ketua Pegawai Eksekutif LBR Azizul Kamar Abdul Rahman berkata, kejohanan itu yang akan bermula esok bakal berjalan mengikut jadual apabila semua pasukan bersetuju membenarkan Labuan menjadikan Kuala Lumpur gelanggang mereka.

“Segala kesilapan berlaku sudah diselesaikan apabila Labuan akan beraksi dalam kelompok Zon Tengah 2, sekali gus menjadikan jumlah pasukan bertambah kepada 21,” katanya pada sidang media semalam.

Sebelum ini, kekecohan berlaku apabila 12 pasukan dari Kuala Lumpur mengugut menarik diri selepas Labuan digugurkan kerana gagal mendaftarkan pasukan dan menghadiri sesi pemilihan pasukan yang dikendalikan mengikut Zon Borneo.

Bagi edisi pertama ini, 112 pasukan dari seluruh Malaysia akan berentap merebut kejuaraan yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 manakala 16 pasukan yang berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan bakal menerima insentif tambahan RM20,000.

Kejohanan bertaraf amatur ini akan dijalankan menerusi pembahagian yang merangkumi lapan Zon iaitu Utara (Perlis dan Kedah), Zon Barat (Perak dan Pulau Pinang), Zon Tengah 1 (Selangor dan Pahang), Zon Tengah 2 (Kelantan dan Terengganu), Zon Borneo 1 (Sabah), dan Zon Borneo 2 (Sarawak).

Kesemua perlawanan akan dijalankan secara timbal balik membabitkan 520 perlawanan hingga ke final.

Pasukan juara dan naib juara akan beraksi dalam Liga FAM manakala pemain berusia 21 tahun akan diserapkan ke pasukan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:13 AM