PEMAIN dan pegawai TABS Safa Bandaraya bergambar dengan piala dan hadiah dimenangi.
PEMAIN dan pegawai TABS Safa Bandaraya bergambar dengan piala dan hadiah dimenangi.
myMetro

Kota Kinabalu: Impian pasukan TABS Safa Bandaraya untuk menjulang kejuaraan Piala Borneo B-16 akhirnya menjadi kenyataan apabila menumpaskan pencabar tradisi, DPM (Sekolah Sukan Negeri Sabah) 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Penampang, kelmarin.

TABS yang mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat liga, mendahului lawan 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Radzee Ramlye sebelum Javier Dimis menambah kelebihan di babak kedua.

Pasukan Jubilo FC menduduki tempat ketiga apabila menewaskan Ipigasa United dari Filipina 1-0 melalui sepakan penalti ‘sudden death’ selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang masa sebenar.

Pengurus pasukan TABS Lokman Sunggim berkata, harapan pasukannya untuk menjuarai kejohanan kali ini menjadi kenyataan hasil komitmen dan kesungguhan pemain melakukan persiapan sebelum kejohanan.

Katanya, tahun lalu mereka menduduki tangga kedua dan kali ini pasukannya lebih bersedia dan semangat itulah yang mendorong mereka untuk mencapai kejayaan.

Lokman berkata, persiapan pasukannya lebih rapi di bawah kendalian jurulatih Roslan Wasli dan turut diawasi ketua jurulatih Matasan Ahmad.

“Kami memberi tumpuan dan penekanan kepada latihan dan keyakinan pemain. Usaha itu akhirnya membuahkan hasil kepada pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan akhir.

Lokman yang juga Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya berharap kejuaraan yang dicapai pasukan B-16 itu membantu memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada pasukan TABS B-15, B-14, B-13, B-12 dan B-11 untuk melakukan yang terbaik menghadapi pertandingan kategori masing-masing hujung bulan ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada empat pemain pasukan B-16, Mohd Hizaz Lokman (penyerang), Mohd Farhan Abd Aziz, Muhd Paisal (pertahanan) dan Mohd Zahid Abd Rashid (penjaga gol) selepas dipilih untuk mewakili pasukan senior Kota Kinabalu bagi menghadapi Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Zon Borneo 1 yang bermula awal bulan depan.

Tambahnya, pemain terbabit berpotensi untuk dipilih dalam pasukan Belia B-19 Sabah musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 8:41 AM