Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Berita baik buat pemain amatur dan jurulatih bola sepak tempatan!

Mereka kini berpeluang mengendali pasukan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) yang akan diwujudkan di seluruh negara dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Setiausaha Kehormat Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia Azlan Johar berkata, persatuan itu kini sedang mengumpulkan data jurulatih bola sepak tempatan dengan pelbagai lesen kejurulatihan.

“Persatuan ini dipertanggungjawabkan membentuk organisasi LBR yang bertujuan mencari bakat baru serta memberi ruang dan peluang pemain di peringkat daerah mengembangkan potensi.

“Pemain pasukan juara daerah akan diserapkan ke peringkat lebih tinggi dan berpeluang menjadi pemain profesional masa depan. Persatuan memerlukan data untuk memastikan jurulatih berkebolehan bagi mencapai hasrat matlamat LBR,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Buat masa ini, persatuan mengambil langkah mengemas kini data jurulatih yang memiliki lesen kejurulatihan bola sepak A, B dan C.

Katanya, mereka sedang menyusun rangka serta jadual liga LBR yang bersesuaian agar tidak bertembung dengan jadual Liga Super.

“Pelaksanaan LBR tidak boleh bertembung dengan jadual liga tempatan agar jurulatih pasukan negeri dan kelab berkesempatan melihat dan menilai pemain amatur beraksi dalam LBR.

“Kami mahu memastikan semua jurulatih memiliki lesen kejurulatihan bertauliah dan berdaftar dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Minat dan kebolehan sangat penting,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:21 AM