BARISAN pegawai dan pemain pasukan Paya Besar bergambar kenangan.
BARISAN pegawai dan pemain pasukan Paya Besar bergambar kenangan.
Asrol Awang


Kuantan: Pasukan Paya Besar yang kali pertama menyertai Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) mempamer prestasi membanggakan apabila muncul juara Kumpulan Tiga Zon Tengah Satu.

Kejayaan itu membolehkan Paya Besar layak beraksi dalam pusingan playoff untuk memburu tempat dalam 16 pasukan terbaik LBR musim 2016/2017.

Jurulatih Abdul Rahman Kadir berkata, pencapaian itu membuktikan pemainnya mampu melangkah lebih jauh jika terus mempamer komitmen tinggi pada aksi playoff nanti.

Katanya, tiada yang mustahil buat semua pemain jika segala perancangan dilaksanakan dengan berkesan walaupun masih kurang berpengalaman beraksi pada peringkat tinggi.

“Pasukan ini sudah membuat persediaan dan pemilihan pemain sejak September lalu dan beraksi di Kejohanan Piala Sultan Pahang 2016 turut memberikan pendedahan kepada 27 pemain yang didaftarkan.

“Dengan menggabungkan pemain dalam lingkungan usia 20-an, mereka mampu mengikut percaturan sekali gus memberikan tentangan kepada lawan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pasukannya akan bertemu Raub di Kompleks Sukan Dong, hari ini sebelum kembali beraksi menentang Muadzam Shah di Stadium Darul Makmur pada 14 Januari.

“Sudah pasti kami mahukan kemenangan untuk mencapai misi beraksi ke peringkat lebih tinggi sekali gus menempah tiket ke final dan bergelar juara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:10 AM