AZIZUL KAMAR ABDUL RAHMAN
AZIZUL KAMAR ABDUL RAHMAN
Firdaus Hashim


LIGA Bolasepak Rakyat (LBR) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penahanan seorang ketua jurulatih pasukan bola sepak di Tampin yang ditahan kerana disyaki mengatur perlawanan LBR November tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LBR, Azizul Kamar Abdul Rahman berkata, LBR bersedia membersihkan elemen negatif itu di samping membuat peringatan kepada semua pihak yang terbabit dalam saingan LBR.

“Walaupun LBR dikatakan ‘liga kampung’, namun kami serius membuat pendekatan bagi menangani isu ini demi kebaikan bersama dan maruah bola sepak tempatan.

“Pembentukan Jawatankuasa Integriti FAM-LBR yang terdiri daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), PDRM dan SPRM diharap dapat meneliti kes dilaporkan pihak LBR yang akan dirujuk. Justeru, diharap dapat mengurangkan elemen negatif semasa tempoh penganjuran liga berlangsung,” katanya.

Jelas Azizul lagi, ilham penubuhan Jawatankuasa Integriti FAM-LBR itu disuarakan pada pertemuan pertama pengurusan LBR bersama Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas memegang tampuk Presiden FAM.

“Kami berbesar hati apabila Presiden FAM turut menitikberatkan aspek integriti,” ujarnya.

“Kami merasakan ruang masih ada bagi LBR untuk terus meningkatkan mutu penganjurannya. LBR mempunyai kelebihan kerana ia ditubuhkan selari dengan kemahuan terkini peminat bola sepak tempatan yang diharap dapat menyediakan ‘pool of players’ kepada pasukan negeri mahupun kelab melalui pertandingan amatur di peringkat akar umbi setiap minggu.

“Kesilapan dan kontroversi memang tidak pernah lari, namun kami akan sentiasa cuba mengatasinya sebaik mungkin. Pada masa sama sokongan semua pihak amat diharapkan bagi membuat perubahan positif.”

LBR yang diilhamkan oleh pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika bergelar Presiden FAM dari 2014-2016 menyaksikan ianya mendapat sambutan hebat daripada peminat bola sepak tempatan sebaik dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 2015 lalu.

Sementara itu, FAM memandang serius kes berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Pengerusi First Instance Body Pelesenan FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Displin LBR, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, memandangkan LBR sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan FAM untuk membanteras isu pengaturan perlawanan dan rasuah bola sepak, jadi perkara ini akan diteliti sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Saya percaya ia masih di peringkat siasatan SPRM buat masa ini, jadi jika isu ini dibawa oleh sekretariat LBR kepada jawatankuasa disiplin, kemudian barulah kita akan ambil tindakan yang perlu berkaitan kes ini.

“Kami di FAM memang memandang serius dan komited untuk membanteras isu pengaturan perlawanan dan rasuah dalam bola sepak.

“Seperti mana kes lain di FAM, kes ini juga akan dilakukan secara berperingkat yang mana terlebih dahulu ianya akan melalui proses siasatan yang dibuat oleh pihak jabatan undang-undang dan jawatankuasa integriti,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau menjangkakan proses siasatan berhubung kes ini akan dimulakan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 5:53 PM