Sampel buah dan sayur di di Pasar Borong Kuala Lumpur diambil untuk diuji di makmal. FOTO Iskandar Shah Mohamed
Sampel buah dan sayur di di Pasar Borong Kuala Lumpur diambil untuk diuji di makmal. FOTO Iskandar Shah Mohamed
Oleh Iskandar Shah Mohamed


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil 46 sampel buah dan sayur dalam satu operasi khas di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi untuk melakukan kajian makmal secara menyeluruh mengenai sisa racun perosak (pesticide) di dalam bahan makanan itu.

Ops Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) selama dua jam bermula 3.30 petang itu turut disertai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Hayati Abdullah berkata, objektif utama operasi itu bertujuan mengesan individu atau syarikat yang melanggar peraturan yang ditetapkan mengikut Akta Makanan 1983.

"Bagi mengelak keracunan makanan kepada pengguna, setiap hasil jualan bahan mentah terutama buah dan sayur perlu mematuhi kandungan 'pesticide' yang dibenarkan.

"Justeru, kami perlu mengambil sampel bahan berkenaan untuk proses kajian di makmal sekali gus mengenal pasti sama ada ia melanggar peraturan atau sebaliknya," katanya pada sidang media selepas tamat operasi di pasar itu.

Menurutnya, jika didapati bersalah, individu atau syarikat itu boleh dikenakan tindakan kompaun dan dihadapkan ke mahkamah.

Dalam operasi sama, sebuah syarikat turut dikenakan tindakan kerana tidak melabelkan produk buah yang dijual dan sembilan kes membabitkan kesalahan tidak menentusahkan alat timbang turut dikesan KPDNKK.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 6:55 PM