TINJAUAN di Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam. FOTO Fathil Asri
TINJAUAN di Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam. FOTO Fathil Asri
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Premis di luar Pasar Borong Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan bagi warga asing menjalan perniagaan bahan mentah didapati tidak beroperasi, hari ini.

Tinjuan Harian Metro di Jalan 2/3a di sini, mendapati kebanyakan premis yang dahulunya disewa warga asing berkenaan tidak beroperasi selepas disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun masih terdapat peniaga warga asing yang meniaga sekitar kaki lima di bangunan premis terbabit.

Peniaga sayur warga tempatan, Mohd Kamil Ahmad,44, berkata, keadaan itu berikutan operasi dijalankan pihak berkuasa sejak kelmarin.

"Ini situasi biasa, lepas ini mereka beroperasi lagi kerana kekangan undang-undang oleh pihak DBKL yanv hanya boleh menyita barang perniagaan dan premis sahaja.

"Boleh tengok seminggu lagi, kemungkinan mereka akan beroperasi balik,"katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan warga asing dikesan menjadikan kawasan premis di luar Pasar Borong Kuala Lumpur sebagai tempat untuk mereka menjalankan perniagaan selepas tidak dibenarkan beroperasi di pasar berkenaan sejak dua tahun lalu.

Tinjauan di lokasi berkenaan sebelum ini mendapati hampir keseluruhan premis di kawasan terbabit adalah dikendalikan warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan China selain etnik Rohingya.

Mereka menyewa premis terbabit dengan harga RM7,000 hingga RM15,000 sebulan bagi menjalankan perniagaan membekal sayur-sayuran, barangan basah dan buah-buahan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 12:51 PM