ANGGOTA DBKL menemui sayur-sayuran dan makanan kering disembunyikan warga asing di dalam longkang dan lorong sunyi.
ANGGOTA DBKL menemui sayur-sayuran dan makanan kering disembunyikan warga asing di dalam longkang dan lorong sunyi.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Perbuatan jijik apabila sayur dan makanan kering dijual sengaja disembunyikan di dalam longkang serta lorong kotor bagi mengelak dirampas pihak berkuasa.

Itu antara taktik peniaga serta penjaja warga asing yang dikesan masih berdegil meneruskan aktiviti sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, Pusat Bandar Utara dan Taman Wilayah.

Difahamkan golongan warga asing ini segera menyembunyikan pelbagai sayur-sayuran, bawang dan buah-buahan ke dalam longkang di belakang bangunan sebaik menyedari operasi dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

Bagaimanapun taktik itu tidak berhasil apabila anggota DBKL yang melakukan operasi semalam berjaya mengesan dan menyita barangan jualan milik penjaja haram berkenaan.

Jurucakap DBKL berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan 24 jam setiap hari terhadap warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan itu.

"Pihak DBKL turut mempertingkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di Kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dan sekitar Pusat Bandar Utara di sini yang menjadi tumpuan peniaga asing.

"Dalam operasi semalam, DBKL mengawal pergerakan masuk dan keluar di pintu utama Kompleks PBKL itu.

"Pemantauan dan pemerhatian mendapati terdapat segelintir warga asing memasuki kawasan Kompleks PBKL dengan menyelinap melalui kenderaan peniaga tempatan yang berurusan di dalam kawasan PBKL.

"DBKL akan mempertingkatkan lagi tindakan pemantauan di laluan pintu masuk dan keluar Kompleks PBKL termasuk 'lorong tikus' yang dikenal pasti menjadi laluan warga asing," katanya.

Menurutnya, tiga tindakan sita dilaksanakan semalam terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan di kawasan PBKL serta dua tindakan sama di sekitar Pusat Bandar Utara mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

Khamis lalu, DBKL turut menggempur lokasi Pasar Pudu dan Pasar Harian Selayang di sini bagi membenteras aktiviti peniaga warga asing tanpa lesen.

Di Pasar Pudu, tindakan sita serta-merta dilaksanakan oleh petugas DBKL manakala tiga lot gerai dikendalikan warga asing dikesan hasil pemeriksaan di Pasar Harian Selayang.

"Empat notis kompaun kesalahan mengikut seksyen 38(1)(c) UUK Pasar (WPKL) 2016 dikeluarkan. Menjadi kesalahan kepada pemilik gerai berikutan mereka tidak boleh mengambil pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Harian Metro sebelum ini mendedahkan kemunculan semula peniaga warga asing yang aktif menjalankan perniagaan tanpa lesen sah di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, Pusat Bandar Utara dan Taman Wilayah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 12:30 PM