DR Subramaniam (empat kiri) pada majlis perasmian pelancaran projek pembinaan  Hospital IMU, semalam.
DR Subramaniam (empat kiri) pada majlis perasmian pelancaran projek pembinaan Hospital IMU, semalam.
Idris Musa


Kuala Lumpur: Bahagian Keselamatan Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan masa dua minggu untuk melakukan kajian ke atas susu formula bayi yang disyaki tiruan, sekali gus mengenal pasti perkara itu dan implikasi penggunaannya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, dalam hal berkenaan pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“KPDNKK melakukan rampasan (susu berkenaan) dari beberapa kedai. Dalam siasatan, mereka mengesyaki susu itu tiruan. Sekarang kita bekerjasama iaitu Bahagian Keselamatan Makanan di bawah Kementerian Kesihatan dengan KPDNKK untuk melakukan kajian ke atas susu itu.

“Kajian ini mungkin mengambil masa dua minggu. Apabila selesai kajian, kita akan menyediakan laporan dan memberitahu sama ada ia berbahaya atau berisiko,” katanya selepas merasmikan pelancaran projek pembinaan Hospital International Medical University (IMU) di Bukit Jalil di sini, semalam.

Sebelum ini, KPDNKK merampas 210 kotak susu rumusan bayi disyaki tiruan bernilai RM42,000 hasil pemeriksaan di lima kedai ubat dan serbaneka di sekitar Iskandar Puteri dan Skudai, Johor.

Dr Subramaniam berkata, sebelum kajian itu selesai adalah sukar untuk mengaitkan susu berkenaan dengan masalah kesihatan dialami kanak-kanak seperti ruam dan demam.

“Tiap-tiap hari ada budak yang dibawa ke klinik kerana cirit-birit, ruam dan demam. Itu perkara biasa. Tapi untuk mengaitkannya dengan susu itu, cuma boleh dibuat selepas siasatan. Sebelum siasatan susah untuk membuat kesimpulan itu.

“Jadi, kami kena rasional dalam perkara ini, tunggu sampai siasatan. Tetapi proses untuk menarik balik semua susu tiruan dijual itu kena dibuat KPDNKK.

“Kami berharap KPDNKK dan agensi lain akan melakukan siasatan lanjut untuk pastikan macam mana susu tiruan ini masuk ke pasaran dan ambil tindakan terhadap pihak terbabit,” katanya.

Mengenai Hospital IMU yang akan dibina bersebelahan bangunan universiti itu dan dijadualkan siap beroperasi pada 2021, beliau berkata, ia akan bermula dengan 90 katil dan menawarkan perkhidmatan dalam pelbagai kepakaran.

“Kami menggalakkan institusi pengajian tinggi swasta dalam bidang perubatan membina hospital kerana boleh membantu memberi perkhidmatan kesihatan, mengurangkan beban kerajaan dan menyediakan landasan pendidikan kepada mahasiswa mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:16 AM