PASAR borong Kuala Lumpur mempunyai pengurusan sisa makanan lebih sistematik
PASAR borong Kuala Lumpur mempunyai pengurusan sisa makanan lebih sistematik
AKTIVITI sisihan sayur menyebabkan taburan sayur dan akhirnya menjadi sisa makanan.
AKTIVITI sisihan sayur menyebabkan taburan sayur dan akhirnya menjadi sisa makanan.
SISA sayuran disisihkan peniaga.
SISA sayuran disisihkan peniaga.
Nurul Husna Mahmud

MENURUT kajian yang dijalankan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) pada tahun 2012, sisa makanan antara sisa yang paling banyak dihasilkan di Malaysia iaitu sebanyak kira-kira 31 peratus hingga 45 peratus daripada jumlah keseluruhan sisa yang dijana setiap hari.

Daripada jumlah ini, sektor perindustrian, komersial dan keinstitusian (ICI) yang merangkumi pasar borong, basah serta tani sahaja menghasilkan 31.4 peratus.

Tidak terkecuali Pasar Borong Kuala Lumpur di Pusat Bandar Utara Selayang yang mempunyai 448 gerai dan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan laut.

Rutin pasar yang bermula setiap jam 3 pagi menyaksikan lori keluar masuk membawa bahan basah dan fasa seterusnya adalah penyisihan dan pembungkusan semula.

Dalam tidak sedar sisa sayur-sayuran yang disisihkan bertaburan di kawasan persekitaran pasar borong kerana tiada sistem pengasingan sampah yang baik atau sistematik meskipun pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Alam Flora Sdn Bhd membersihkan kawasan berkenaan setiap hari.

Senario lain memburukkan situasi berkenaan ialah kebiasaan dalam kalangan peniaga dan peruncit bertindak membuang sayur serta sisa pepejal lain ke dalam tong yang sama.

Tindakan ini menyebabkan sisa sampah melimpah ke jalanan atau lantai kawasan dan lama kelamaan ia mula membusuk dan lalu menghasilkan air larut resapan mengalir ke dalam longkang yang kemudian disalurkan ke sungai berhampiran seperti Sungai Batu. Implikasi daripada kualiti air, bau dan nilai estetik sungai menyusut atau terjejas.

Kelemahan lain dilihat dalam pengurusan sisa sampah di kawasan pasar borong ialah kos pengendalian dan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah meningkat.

Menyedari hal itu, Konsortium Pasar Borong Sdn Bhd (KPB) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disokong Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia mengambil inisiatif menambah baik sistem pengurusan sisa sampah di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Urusan Konsortium Pasar Borong Sdn Bhd Azrin Shah Ismail kolaborasi pihaknya bersama agensi berkenaan membawa kepada penyelesaian isu sisa makanan bertaburan menerusi penyediaan tapak sisihan sayur-sayuran secara sistematik.

"Pada bulan April 2019, KPB sudah menyediakan sebuah tapak khas sebesar 400 meter persegi di pekarangan pasar berkenaan khusus untuk penyisihan sayur-sayuran.

"Dua agensi yang bekerjasama iaitu DBKL bertindak dengan menyediakan tong sampah khas untuk sisa sayur-sayuran sahaja sementara Alam Flora pula membekalkan tong RORO (Roll-on Roll-off) untuk sisa pepejal lain.

"Pihak KPB juga mewajibkan peniaga dan peruncit untuk menyisih sayur-sayuran, mengasing sisa dan membuang ke tong khas yang disediakan," katanya.

Tambah Azrin lagi 80 peratus daripada anggaran 440 kilogram (kg) sampah setiap hari membabitkan sisa organik daripada sayur-sayuran dan buah-buahan yang dibuang oleh peruncit serta peniaga ditukar kepada sesuatu boleh dimanfaatkan golongan lain.

"KPB sudah menjalinkan kerjasama dengan Betsol Sdn Bhd untuk membekalkan sisa sisihan sayur-sayuran kepada sumber makanan kepada larva serangga lalat askar hitam (Hermetia ilucens). Larva serangga ini padat dengan sumber protein akan diproses dan dijual sebagai makanan ikan hiasan atau makanan ternakan seperti ayam, manakala residu yang dihasilkan oleh larva lalat ini dijadikan sebagai baja organik.

"Pihak Betsol Sdn Bhd juga sudah menyediakan tong RORO mereka sendiri untuk mengangkut sisa sayur yang disisihkan, tiga kali seminggu ke pusat operasi mereka di Rawang, Selangor," katanya.

Sejak inisiatif dimulakan sehingga November 2019, pihak KPB berjaya mengurangkan 53,000kg sisa organik daripada sayur-sayuran dihantar ke tapak pelupusan sampah Bukit Tagar dan menjimatkan kos pengurusan serta mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah yang kini mengalami isu kekurangan tapak pelupusan.

Selain itu ia membantu DBKL dalam penjimatan kos pengangkutan dan 'bayaran tip' untuk 40,000kg sisa sayur-sayuran sebanyak RM25,000 pada enam bulan pertama pelaksanaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 6:30 AM