FOTO Yusmizal Dolah Aling
FOTO Yusmizal Dolah Aling
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa menubuhkan satu pusat dana sementara bagi membantu usahawan khususnya dalam kalangan Bumiputera mendapatkan pinjaman atau bayaran projek lebih cepat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ia perlu bagi memberi peluang kepada ahli perniagaan untuk mendapat modal pusingan sama ada untuk memulakan bisnes atau membiayai pengurusan sedia ada.

Katanya, setakat ini pihaknya menerima lebih 50 aduan setahun mengenai kesengsaraan peniaga yang terpaksa gulung tikar kerana lewat menerima bayaran serta pinjaman daripada agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, ada yang membuat aduan tidak menerima bayaran sejak lebih setahun lalu walaupun semua kerja sudah disiapkan mengikut spesifikasi dan masa ditetapkan.

"Kita bimbang ini akan memburukkan keadaan peniaga Bumiputra ini kerana mereka tidak dapat bersaing. Ada yang berniaga separuh jalan dan terpaksa tutup. Mungkin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) boleh tubuhkan satu pusat dana sementara bagi membantu mereka ini. Setidak-tidaknya 70 peratus daripada jumlah bayaran untuk membolehkan mereka 'bernafas'," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 12:05 PM