MOHD Fauzie menunjukkan laporan polis dibuat. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
MOHD Fauzie menunjukkan laporan polis dibuat. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Yusmizal Dolah Aling


“SAYA terpaksa meminjam dengan orang lain untuk membayar duit pembekal, pekerja dan keperluan lain sementara menunggu bayaran penuh dijanjikan pemaju utama.

“Dari segi kerja yang ditawarkan, saya sudah selesaikan semuanya, tetapi duit pula tidak dibayar seperti dijanjikan,” kata Mohd Fauzie Ezani.

Kontraktor berusia 34 tahun itu kini menuntut bayaran untuk pembinaan dan landskap kerja bangunan Hospital Kuala Krai, Kelantan, berjumlah RM560,000 daripada pemaju utama yang berdolak-dalik dengan pelbagai alasan menyebabkannya terpaksa berhutang.

Katanya, dia ditawarkan projek berkenaan dengan harga RM1.3 juta pada Disember 2017 dan memulakan kerja dua minggu selepas itu dengan perjanjian menerima bayaran berkala.

“Selama beberapa bulan, kerja landskap disiapkan dan menerima bayaran RM459,930, manakala bakinya masih tergantung sehingga kini. Saya pula seperti orang minta sedekah, terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk bertemu pegawai syarikat pemaju mendapatkan penjelasan.

“Mereka juga berjanji untuk memberikan bayaran RM50,000 Mac lalu, tetapi saya hanya dapat RM5,000 saja. Bila ditanya, saya dimaklumkan mereka akan buat pembayaran berperingkat, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan,” katanya ditemui ketika membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bimbang wujud elemen rasuah oleh pemaju utama selepas gagal membayar seperti dijadualkan.

Katanya, sama seperti isu semalam, kontraktor Bumiputera kini terhimpit dengan isu pembayaran yang gagal dibuat sama ada oleh pemaju atau agensi kerajaan sehingga memaksa usahawan gulung tikar.

“Ini isu serius. Jika semalam kita lihat isu berkaitan Felda Global Ventures dan sebelum ini beberapa syarikat berkaitan kerajaan yang lain, kali ini isu pemaju utama pula. Apapun, ia tetap isu penganiayaan kepada kontraktor.

“Kita bukan saja tekankan isu integriti, tetapi juga ketegasan kerajaan dalam kes seperti ini. Berapa ramai kontraktor kini berdepan masalah kewangan walaupun sepatutnya mereka sudah boleh tidur lena selepas kerja selesai,” katanya.

Berita berkaitan

Mana duit kami?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 4:27 PM