Bogota: Pegawai kastam Argentina menemui 30 kilogram dadah yang cuba diseludup dengan cara unik - diserap dalam butiran beras yang dieksport ke Eropah melalui Afrika.

Ketua siasatan jenayah narkotik agensi kastam Argentina, Guillermo Gonzalez berkata, dadah itu dikesan anjing pengesan dan mengetengahkan peranan Argentina yang kini menjadi tempat penghantaran bagi kokain yang dihasilkan di Bolivia, Peru serta Columbia.

Dadah dari situ lazimnya dihantar ke Afrika sebelum diseludup ke pasaran Eropah bagi meraih keuntungan lebih tinggi.

“Ini memang kaedah baru. Penyeludup merendam beras dengan air yang dicampur kokain sehingga kering. Ini kali pertama kami melihat penggunaan teknologi itu,” katanya.

Menurutnya, pengedar dadah dipercayai mengisar beras berisi dadah itu sebelum dijual semula sebagai kokain.

“Kokain tulen terlalu kuat dan tidak mampu diserap badan manusia, jadi beras ini mungkin kaedah yang menjimatkan,” katanya.

Menurutnya, 12 suspek warga Colombia dan Argentina ditahan dalam operasi digelar ‘ops beras putih’ itu.

Perancangan itu terbongkar pada 17 September lalu selepas anjing pengesan menjejak kokain itu dalam kargo berisi 50 kilogram guni beras di sebuah gudang di bandar Rosario.

Penemuan itu bagaimanapun dirahsiakan untuk membolehkan pihak berkuasa mengesan lebih ramai suspek. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:33 AM