SANDRA
SANDRA

Mexico City: Wanita diberi nama jolokan Queen of the Pacific kerana terbabit dengan penyeludupan dadah dan pernah menjadi ilham dalam sebuah drama siri, dibebaskan dari penjara semalam kerana rayuannya di mahkamah diterima hakim.

Sandra Avila Beltran, 54, dibebaskan apabila hakim memutuskan dia tidak boleh dibicarakan dua kali untuk jenayah sama.

Pegawai persekutuan berkata, Sandra sebelum ini dihukum penjara lima tahun kerana terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram pada September tahun lalu.

Awalnya dia ditahan di Mexico City pada 2007 bersama kekasihnya, Juan Diego Espinosa yang digelar El Tiger.

Lelaki terbabit menjadi orang tengah antara sindiket dadah Sinaloa dan penyeludupan Columbia.

Sandra pernah dibebaskan dari tuduhan menguruskan dana haram pada 2012, tetapi pihak berkuasa mengekstradisinya ke Amerika Syarikat bagi menghadapi tuduhan bersubahat mengimport lima kilogram kokain antara 1999 dan 2004.

Seorang hakim menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan menghantarnya kembali ke Mexico pada Ogos 2013.

Walaupun Sandra mengaku mengenali pengedar dadah terkenal, dia berkeras menafikan terbabit dalam aktiviti penyeludupan.

Katanya, kekayaan dimilikinya adalah hasil perniagaan hartanah dan kerjaya fesyennya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 5:09 AM