GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket dadah antarabangsa didalangi empat warga asing termasuk seorang doktor susulan rampasan dadah kokain bernilai hampir RM1.5 juta.

Sumber berkata, kegiatan itu dibongkar selepas sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menyerbu sebuah pangsapuri di Serdang, Selangor, Jumaat lalu.

Hasil serbuan pertama itu, polis memberkas seorang lelaki warga Pakistan berusia 40-an dan menemui dua bungkusan berisi kokain seberat lebih lima kilogram.

Katanya, polis menyerbu sebuah kediaman mewah disewa seorang lagi suspek warga Pakistan di Seri Kembangan, Selangor yang disyaki turut bersekongkol dengan suspek pertama.

"Suspek kedua ditahan itu mendakwa mempunyai kelulusan sebagai doktor bertauliah. Agak aneh apabila dia mampu menyewa rumah banglo mewah itu dengan sewa bulanan RM8,000.

"Suspek kedua turut membawa polis ke premis yang dijadikan lokasi memproses bahan kimia yang didakwa untuk penternakan. Bagaimanapun barangan dijumpai di premisnya di Seri Kembangan itu dihantar ke makmal kimia untuk pemeriksaan.

"Susulan itu, polis menyerbu beberapa lagi kediaman dan menahan dua lelaki warga Afrika dan seorang wanita warga Filipina yang menjadi kekasih seorang suspek.

"Polis mengesyaki lelaki warga Afrika ditahan itu berperanan sebagai penghantar kokain berkenaan. Bagaimanapun polis percaya kokain itu untuk pasaran luar negara berikutan ia tidak popular di negara ini berbanding syabu dan heroin.

"Ada kemungkinan Malaysia dijadikan transit sebelum kokain itu dihantar ke negara ketiga. Berdasarkan harga pasaran, kokain boleh mencapai harga lebih RM200,000 sekilogram. Namun pandemik Covid-19 mungkin menyebabkan harganya semakin tinggi," katanya.

Negara sebelum ini pernah dikejutkan apabila polis merampas 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion (AS$580 juta) di Pulau Pinang pada 10 September 2019.

Dadah itu yang dicampur arang batu dari negara Latin Amerika dibawa masuk melalui Pelabuhan Butterworth, Pulau Pinang.

Ia dicampur dengan arang dalam 60 guni dan diisi dalam tiga kontena bagi aktiviti penyeludupan itu dihidu pihak berkuasa.

Kokain adalah dadah simulasi yang kuat dan sering digunakan sebagai dadah rekreasi. Ia biasa diambil dengan menyedut serbuk, dihisap asap atau dicairkan dan dicucuk dengan jarum ke pembuluh darah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 6:30 AM