Pemain ragbi Jepun, Ayumu Goromaru tidak mustahil menjadi hero komik manga dan kini reputasinya semakin hebat dengan aksi yang menyumbang 24 mata bagi membolehkan mereka mencipta sejarah Ragbi Piala Dunia menewaskan Afrika Selatan.

Selepas sekian lama menyarung jersi merah putih skuad ‘Brave Blossoms’, pemain fullback berusia 29 tahun itu akhirnya berjaya menempa populariti global.

Pemain yang digelar rakan sepasukannya ‘Goro’ tampil lain daripada rakan sepasukannya, dengan berat badan 100 kilogram serta berotot pejal dan mempunyai ketinggian 1.85 meter.

Namun keadaan fizikal sehebat itu masih belum mampu menyelamatkannya daripada tersungkur ketika cuba merempuh kekebalan kubu pertahanan Springboks menuju ke touchline.

“Dia adalah kekuatan pasukan kami,” kata prop Hiroshi Yamashita.

Goromaru memastikan Jepun terus bertahan ketika melakukan penalti dan tidak membenarkan skuad Springboks terus selesa dan menganggap perlawanan itu menjadi milik mereka.

“Dia seorang lelaki yang boleh diharap,” kata pemain sayap Kenki Fukuoka.

“Dia menyempurnakan banyak penalti, kesemuanya masuk dan ini memberi kami keyakinan.”

Pemain lock Jepun, Justin Ives memuji Goromaru yang sentiasa tenang ketika merobek kubu ‘Boks.

Begitupun, jika tidak kerana kehadiran jurulatih Eddie Jones, bakat ini mungkin lenyap begitu saja, sekurang-kurangnya kepada peminat Piala Dunia Ragbi.

Dia membuat penampilan sulung kejohanan Test pada usia 19 tahun namun bakatnya tidak dipedulikan beberapa jurulatih.

Media Jepun meletakkannya sebagai bintang masa depan skuad kebangsaan, namun ia tidak dipedulikan dan ia terbukti apabila kejohanan ini adalah penampilan sulungnya di Piala Dunia.

Jurulatih dari Perancis, Jean-Pierre Elissalde bagaikan tidak prihatin dengan apa yang diperkatakan media apabila enggan mempedulikannya.

Nasibnya mula berubah apabila pasukan itu dikendalikan bekas pemain sayap All Black, John Kirwan tetapi malangnya dia tidak disenaraikan ke Piala Dunia 2011.

Dia terus diketepikan sehinggalah kedatangan Jones pada 2012.

Ives berkata biarpun Goromaru sentiasa keluar masuk tetapi setiap kali dia membuka mulut di bilik persalinan, semuanya akan diam.

“Dia rakan sepasukan yang hebat. Dia seorang yang tenang tetapi bila ada sesuatu ingin diperkatakan, dia mahu semua orang mendengarnya,” kata Ives.

“Sewaktu perjumpaan atau perlawanan, dia akan bercakap jika perasan ada sesuatu yang tidak kena dari posisinya sebagai fullback. Dia seorang pemimpin.”

‘Goro’ akan menyarung jersi negaranya buat kali ke-55 awal pagi esok ketika menentang Scotland, justeru beban untuk melancarkan serangan selain memastikan mata terus dikutip menerusi penalti akan sekali lagi digalasnya.

“Ada ketikanya dia ketawa namun dia serius sepanjang masa,” kata Ives.

Wira komik itu pasti akan mempunyai lebih banyak masa untuk ketawa andai matlamat ke suku akhir berjaya dicapai namun ini masanya untuk beraksi demi menyelamatkan maruah Jepun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 7:44 AM