JENAZAH Allahyarham Shahidan dan Abdul Habib disembahyangkan. FOTO Noor Azam Abd Aziz
JENAZAH Allahyarham Shahidan dan Abdul Habib disembahyangkan. FOTO Noor Azam Abd Aziz
Oleh Noor Azam Abd Aziz di Makkah


Makkah: Jenazah dua jemaah Malaysia yang terkorban dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam, 11 September lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ik Muaissem pada 7.45 malam waktu Arab Saudi semalam (12.45 tengah malam tadi waktu Malaysia).

Jenazah Allahyarham Shahidan Saad, 52, dan Allahyarham Abdul Habib Lahman, 68, disembahyangkan di Masjidilharam selepas solat Maghrib.

Jenazah sekali lagi disembahyangkan di tanah perkuburan berkenaan dengan diimamkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Abang dan adik lelaki Shahidan, Sobri dan Zulhakimin serta anak Abdul Habib, Mohd Fadzil turut hadir pada pengebumian berkenaan.

Proses pengurusan jenazah lancar selepas waris yang dibawa ke rumah mayat melakukan pengesahan ke atas jenazah Shahidan dan Abdul Habib.

Pengecaman turut disahkan menerusi barangan peribadi termasuk gelang dan lencana pengenalan diri yang ditemui bersama jenazah.

Dalam kejadian pada 5 petang, 11 September lalu, lebih 100 jemaah haji terkorban dan tujuh daripadanya membabitkan jemaah haji Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 2:57 PM