Menlo Park: Khabar angin mengenainya tersebar sejak beberapa tahun lalu.

Dan kini, Facebook akhirnya akan mempunyai butang ‘Dislike’ (Tidak suka) selepas sebelum ini menolak idea itu dengan menyifatkannya sebagai ‘terlalu negatif’.

Pengasas Facebook Mark Zuckerberg berkata di satu sesi soal jawab yang diadakan di ibu pejabat Facebook di Menlo Park, California, Amerika Syarikat, media sosial itu berusaha untuk memasukkan butang ‘Dislike’ dan ia akan diuji tidak lama lagi.

“Akhirnya kami mendengar anda dan kami kini berusaha untuk mewujudkan butang itu. Kami akan menyertakan sesuatu yang diperlukan oleh sebahagian besar pengguna.

“Pengguna sekian lama meminta butang ‘dislike’ dan mungkin beratus-ratus yang bertanya mengenainya. Hari ini (semalam) sungguh istimewa kerana saya ingin mengumumkan bahawa kami berusaha ke arah itu.

“Kami kini hampir melakukan ujian terhadap butang itu,” katanya.

Zuckerberg berkata, syarikat itu berharap butang berkenaan tidak digunakan untuk bersikap negatif, tetapi untuk pengguna meluahkan empati.

“Tidak semua saat itu menggembirakan. Jika anda berkongsi sesuatu yang menyedihkan seperti krisis pelarian yang menyentuh perasaan atau seorang anggota keluarga meninggal dunia, sudah pasti anda tidak akan selesa untuk ‘Like’ (suka) kenyataan yang dimuat naik. Saya berpendapat adalah penting untuk memberi pengguna pilihan lain daripada menekan butang ‘Like’,” kata Zuckerberg. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 3:37 AM