FACEBOOK menyalahkan ‘perubahan konfigurasi pelayan’ sebagai punca gangguan besar-besaran. FOTO/AGENSI
FACEBOOK menyalahkan ‘perubahan konfigurasi pelayan’ sebagai punca gangguan besar-besaran. FOTO/AGENSI
AFP

Menlo Park (Amerika Syarikat): Firma media sosial, Facebook menyalahkan ‘perubahan konfigurasi pelayan’ sebagai punca gangguan besar-besaran hingga menjejaskan aplikasinya di seluruh dunia, semalam.

Gangguan itu menjejaskan pengguna selama sekurang-kurangnya 12 jam di kebanyakan kawasan di dunia, menyaksikan Amerika Utara dan Eropah paling teruk terjejas.

Selepas mengakui berdepan masalah Rabu lalu, Facebook berdiam diri hampir 24 jam sebelum mengeluarkan penjelasan dan permohonan maaf sekitar jam 4.30 petang (waktu tempatan) semalam.

“Semalam, akibat perubahan konfigurasi pelayan, ramai pengguna berdepan masalah mengakses aplikasi dan perkhidmatan kami.

“Kami kini berjaya menyelesaikan masalah dan sistem kami kembali pulih. Kami amat kesal di atas kesulitan itu dan menghargai kesabaran anda semua,” kata Facebook dalam satu kenyataan di Twitter.

Difahamkan ia gangguan paling teruk pernah dialami gergasi internet yang diakses kira-kira 2.7 bilion pengguna termasuk rangkaian sosial utamanya, Instagram dan WhatsApp.

Rabu lalu, Facebook menolak spekulasi bahawa masalah itu mungkin disebabkan oleh serangan denial-of-service, sejenis serangan siber yang membanjiri hos perkhidmatan dengan permintaan yang berlebihan.

Berita berkaitan

Gangguan terburuk dalam sejarah Facebook

Facebook perjelas gangguan di Twitter

Facebook nafi digodam, diserang virus

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 10:06 AM