KYOUNG-soo
KYOUNG-soo
AFP

SEOUL: Seorang gabenor yang juga sekutu kuat Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dijatuhi hukuman penjara dua tahun semalam, selepas didapati bersalah dalam skandal mengatur pendapat umum atas talian menjelang pilihan raya presiden pada 2017.

Kim Kyoung-soo, 51, didapati bersalah selepas bersekongkol dengan seorang penulis blog untuk menghasilkan lebih daripada 88 juta ‘like’ dan ‘dislike’ pada ruang komentar 76,000 berita.

Tujuannya adalah untuk mengatur algoritma Naver, portal terbesar Korea Selatan, bagi menonjolkan cerita yang cenderung kepada Jae-in yang ketika itu adalah calon presiden.

Dalam pilihan raya itu, parti liberal menang besar selepas penyingkiran Park Geun-hye yang dikaitkan dengan kes rasuah.

Mahkamah Daerah Seoul Tengah berkata, Kyoung-soo mengarahkan penulis blog yang dikenali sebagai Druking untuk melaksanakan rancangan itu dan menyedari wujudnya penggunaan program komputer secara haram.

Gabenor wilayah Gyeongsang Selatan itu menafikan semua pertuduhan dan akan membuat rayuan tetapi kini ditahan.

“Saya akan berjuang hingga ke akhirnya,” kata Kyoung-soo, menurut agensi berita Yonhap.

Dia masih kekal dengan jawatannya tetapi akan disingkirkan dan dihalang daripada bertanding selama lima tahun sekiranya mahkamah lebih tinggi mengekalkan keputusan itu.

Penulis blog itu dipenjara selama tiga setengah tahun kerana memanipulasi pendapat umum secara haram dan menerima rasuah.

Dalam keputusan itu, hakim berkata, Kyoung-soo menerima ‘bantuan yang mencukupi’ daripada Druking dan berjaya mengatur serta mempengaruhi sentimen orang awam menjelang pilihan raya 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 12:15 PM