FOTO IG Nabila Huda
FOTO IG Nabila Huda
Ramlah Zainal


GARA-GARA melakonkan watak berat Aini dalam filem genre seram M4M4, pelakon Nabila Huda mendakwa dia asyik mengigau, melalak, meraung dan sedih hampir setiap hari.

Menurut Nabila, 34, perubahan sikapnya itu disedari suaminya, Mohd Izwan Johar, 35, sejak dia terbabit dengan penggambaran filem seram arahan Eyra Rahman itu.

“Berat sungguh watak Aini kerana saya sendiri dapat merasakan beratnya kepala saya berfikir.

“Suami sudah beri amaran supaya saya tinggalkan watak Aini di luar pagar rumah sebab menurutnya saya asyik marah-marah dan sangat emosi sejak penggambaran filem itu," tulisnya di Instagram.

Namun, pelakon yang dikenali dalam drama Dendam Aurora itu tetap menafikan dirinya terbawa-bawa karakter dalam lakonan sehingga ke rumah.

“Bila suami cakap perubahan perangai saya setiap kali terbabit dengan projek filem dan drama, mesti saya menafikannya.

“Padahal suami yang nampak perubahan diri saya dan dia yang menjadi mangsa keadaan sebenarnya.

“Saya sendiri tidak pasti apa yang tidak kena dengan diri saya.

“Masa mula-mula kami berkahwin dulu, suami memang terperanjat tetapi sekarang dia sudah dapat terima hakikat itu,” katanya.

Filem terbitan DA Motion Media itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Eyra Hazali, Bella Dowana dan ramai lagi.

Penggambaran filem itu bermula sejak 18 Disember lalu dan membabitkan lokasi sekitar Lembah Klang.

Perkongsian Nabila di Instagram miliknya @kupu-kupu turut mendapat maklum balas positif daripada netizen dan rakan artis seperti Janna Nick, Nurul Wahab dan Nizam Zaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 11:32 AM